
SARIKEI: Prihatin terhadap kebajikan rakyat, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii meneruskan usaha membantu mereka yang memerlukan.
Beliau telah menyumbangkan katil pesakit boleh laras kepada dua warga emas, baru-baru ini.
Jurucakap Pusat Khidmat Repok berkata, penerima bantuan tersebut ialah Sia Mee Sieng, 60, dari Jalan Eng Tai dan Law King Ing, 72, dari Nyelong Park.
“Sumbangan ini diuruskan oleh Pusat Khidmat Repok untuk diserahkan kepada penerima.
“Dato’ Sri Huang Tiong Sii sentiasa komited dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang, terutama golongan warga emas dan mereka yang mengalami masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, Tiong Sii merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
“Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii tetap memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terjaga.
“Sumbangan katil pesakit boleh laras ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan yang dilaksanakan sejak beliau menjadi wakil rakyat di Repok dan Parlimen Sarikei.
“Ahli keluarga pesakit berterima kasih kepada Datoʼ Sri Huang Tiong Sii kerana membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pesakit,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya katil tersebut, ia membantu pesakit berehat dengan lebih selesa dan membantu ahli keluarga pesakit lebih mudah menjaga pesakit yang terlantar di rumah.
Oleh Earl Anek