BINTULU: Kerajaan Sarawak sudah mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewarta hospital swasta sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada orang ramai.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut dilakukan bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bumi Kenyalang.
“Pihak korporat boleh berhubung dengan hospital yang telah diluluskan dan hospital ini akan memberikan vaksin kepada kakitangan syarikat tersebut termasuk syarikat industri dan perladangan.
“Vaksin tersebut adalah diberikan percuma dari Kerajaan Negeri tetapi mereka hanya dibayar kos perkhidmatan sahaja. Kini mereka (hospital swasta) sedang berunding harga standard sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Bintulu, semalam.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Sarawak akan membeli sebanyak 500,000 vaksin jenis Sinovac bagi fasa pertama untuk rakyat negeri ini.
Menurutnya, pembelian vaksin itu juga selari dengan usaha mempercepat program vaksinasi dan mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Saya telah berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dua minggu lepas.
“Kerajaan Sarawak telah mendapat kebenaran daripada Kerajaan Pusat untuk membeli vaksin dan kita berterima kasih kepada beliau,” katanya sambil memberitahu ia pendekatan untuk mempercepat program vaksinasi di negeri ini.
“Salah satu cara untuk menangani penularan wabak Covid-19 adalah dengan suntikan vaksin dan mempunyai disiplin diri,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak juga akan membeli vaksin untuk meneruskan fasa kedua nanti.
Oleh ELLIE EDWARD