AI tidak mampu gantikan wartawan beretika – Abdullah Saidol

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan dapat menggantikan peranan wartawan yang berpegang kepada etika serta prinsip kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, walaupun AI semakin digunakan dalam penghasilan kandungan, nilai profesionalisme, pertimbangan editorial dan tanggungjawab sosial yang dimiliki wartawan tidak boleh digantikan oleh teknologi.

Menurut beliau, penggunaan AI dalam penulisan berita asas mula memberi kesan terhadap peranan serta peluang pekerjaan wartawan tradisional.

DATUK Abdullah Saidol berucap pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sebuah hotel terkemuka, malam ini.

Katanya, perkembangan itu turut menimbulkan isu hak cipta apabila model AI dilatih menggunakan artikel media tanpa kebenaran sehingga menjejaskan kelestarian industri penciptaan kandungan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di Hotel Pullman, di sini, malam ini.

Abdullah berkata, perkembangan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) turut mewujudkan cabaran baharu kepada industri media, termasuk kemunculan teknologi pemalsuan mendalam (deepfake) yang mampu memanipulasi video dan audio sehingga mengaburkan sempadan antara kebenaran dengan penipuan.

Menurut beliau, penggunaan AI turut mempercepatkan penyebaran maklumat palsu sehingga usaha pembetulan oleh media sering berdepan cabaran.

Dalam masa sama, katanya, media tetap memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dengan kerajaan melalui penyampaian maklumat yang tepat serta telus.

Beliau berkata, media juga perlu mengelakkan laporan berbentuk sensasi atau hanya mengejar tarikan klik (clickbait) kerana kandungan sedemikian boleh mencetuskan keresahan dalam masyarakat.

Selain itu, pengamal media perlu menjauhi naratif yang menyentuh sensitiviti kaum atau berunsur kebencian, sebaliknya menghasilkan laporan yang bersifat membina serta mengukuhkan perpaduan.

“Di sebalik asakan teknologi digital, peranan wartawan manusia yang beretika tidak boleh digantikan oleh algoritma.

“Sokongan padu daripada kerajaan dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan pengamal media terus cekal berdiri sebagai benteng kebenaran demi keharmonian negara,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud