SIMANGGANG, 3 November: Hospital Sri Aman terus memperkukuh komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar menerusi pelaksanaan Program Kelestarian Hospital Sri Aman Tahun 2026 yang bertujuan membudayakan amalan hijau dalam kalangan warga kerja hospital.
Menurut kenyataan Hospital Sri Aman, program berkenaan dilancarkan menerusi satu majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat 2, Hospital Sri Aman, baru-baru ini.
Majlis peluncuran tersebut disempurnakan oleh Pengarah Hospital Sri Aman, Dr. Hazwani Mohd Yusop, sebagai simbolik komitmen pihak pengurusan dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar serta menggalakkan penggunaan sumber secara cekap dan berhemah.
Program Kelestarian 2026 memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu pengurusan tenaga, amalan 3R (Pengurangan, Penggunaan Semula dan Kitar Semula) serta Kualiti Udara Dalaman (IAQ).
Menerusi pengurusan tenaga, warga hospital digalakkan mengamalkan penjimatan elektrik secara konsisten, manakala amalan 3R pula menekankan usaha mengurangkan penghasilan sisa, menggunakan semula bahan serta memperluas aktiviti kitar semula bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Sementara itu, komponen Kualiti Udara Dalaman memberi penekanan terhadap kepentingan mewujudkan persekitaran hospital yang bersih, sihat, selesa dan selamat demi kesejahteraan warga kerja serta pelanggan hospital.
Pelbagai pengisian turut memeriahkan program berkenaan termasuk taklimat kelestarian, tayangan video kesedaran perubahan iklim, montaj aktiviti kelestarian dan kuiz interaktif.
Program itu turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Sudut Program Kelestarian serta Pertandingan Gambar Kesedaran dan Gambar Bergimik.
Penganjuran program tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, malah menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama, kreativiti dan penglibatan aktif seluruh warga hospital dalam menjayakan agenda kelestarian.
Hospital Sri Aman berharap inisiatif berkenaan dapat menjadikan amalan kelestarian sebagai budaya kerja berterusan, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang cekap, berkualiti dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar demi mewujudkan persekitaran hospital yang lebih hijau, bersih dan sihat.
Oleh Adi Safarman




