
SIBU: Hospital Sibu hari ini menerima sumbangan sebuah mesin Oxygen Concentrator bernilai RM5,000 daripada seorang individu dermawan.
Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, yang mewakili penderma berkenaan, kepada Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu, semasa Program Saringan Kesihatan Percuma anjuran Pusat Khidmat Parlimen P.212 Sibu dengan kerjasama Persatuan Bidan Sarawak Cawangan Sibu.
Program ini berlangsung dari 11 hingga 12 April di Pusat Komersial Taman Rejang.
Menurut Ling, mesin tersebut amat penting bagi pesakit yang mengalami masalah pernafasan, terutamanya mereka yang menghidap penyakit paru-paru kronik.
“Mesin ini menumpukan oksigen daripada udara sekeliling dan membekalkan oksigen yang lebih pekat kepada pesakit, sekitar tiga hingga lima liter seminit. Ia sesuai digunakan di rumah dan dikenali sebagai ‘low flow oxygen’,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini, pesakit perlu menggunakan tong oksigen, namun dengan adanya mesin ini, ia menjadi lebih mudah dan praktikal.
Sementara itu, Dr Nanthakumar, berkata kos bagi mendapatkan mesin berkenaan adalah tinggi dan sukar ditanggung oleh kebanyakan keluarga pesakit.
Justeru, pihak hospital meminjamkan mesin tersebut secara percuma kepada pesakit kronik yang memerlukan, bagi mengurangkan keperluan mereka untuk berulang-alik ke hospital.
“Kami kini mempunyai kira-kira 20 hingga 30 mesin yang sedang dipinjamkan secara aktif.
“Apabila pesakit meninggal dunia, mesin itu akan dikembalikan semula kepada hospital untuk kegunaan pesakit lain,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penderma atas sumbangan yang amat bermakna itu.
“Sumbangan ini membolehkan kami menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai yang ingin membantu pesakit mendapatkan rawatan yang lebih selesa,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting