
PETRA JAYA: Sarawak menjadi tuan rumah bagi Asia/Oceania Final Qualifying ITF World Junior Tennis U14 Boys & Girls yang berlangsung dari 31 Mac hingga 15 April 2025 di Pusat Persatuan Lawn Tenis Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan berprestij itu menghimpunkan bakat muda tenis terbaik dari rantau Asia dan Oceania.
“Sebanyak 18 negara akan mengambil bahagian, termasuk Australia, China, Chinese Taipei, Hong Kong (China), India, Iran, Jepun, Kazakhstan, Korea, Malaysia, Nepal, New Zealand, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Uzbekistan dan Indonesia.
“Ini akan menjadi pentas mempamerkan kemahiran, ketabahan, dan semangat kesukanan,” katanya pada sidang media hari ini di Baitulmakmur II.
Beliau turut memaklumkan bahawa Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) menyediakan geran sebanyak AS$1,600 bagi setiap negara yang bertanding, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar AS$51,200 atau kira-kira RM230,000.
Menurutnya, penganjuran kejohanan ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam pembangunan sukan belia serta usaha memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi utama pelancongan sukan di rantau ini.
“Sukan menyatukan masyarakat merentasi budaya, dan kejohanan ini mencerminkan semangat perpaduan serta kecemerlangan.
“Kami juga mengalu-alukan semua peserta dan pengunjung untuk menerokai keindahan Sarawak, termasuk warisan budaya yang kaya, makanan yang pelbagai, serta landskap semula jadi yang menakjubkan,” tambahnya.
Kejohanan ini dijangka menjadi platform melahirkan bintang tenis masa depan dan menawarkan aksi perlawanan yang menarik sepanjang penganjurannya.
Oleh Amanda L.