
KUCHING: Sebuah Toyota Hilux Rogue 2.8 dilaporkan dicuri di Batu 3 di sini sekitar 3.00 petang semalam selepas pemiliknya dipercayai meninggalkan enjin kenderaan dalam keadaan hidup ketika masuk ke sebuah kedai berhampiran.
Ketua Polis Daerah Padawan, ACP Mohd Irwan Hafiz Md Radzi mengesahkan laporan polis berhubung kejadian itu diterima sekitar 4.30 petang dan kes masih dalam siasatan.
Beliau berkata, pemilik kenderaan tersebut hanya masuk sebentar ke dalam kedai untuk mengambil sesuatu dengan meninggalkan Hilux berwarna perak itu tanpa pengawasan serta enjin masih hidup.
“Seorang lelaki dilihat berjalan menuju ke arah kenderaan tersebut sebelum masuk ke dalam Hilux dan terus memandu lari,” katanya.
Menurut beliau, pemilik Hilux itu turut dilihat mengejar kenderaan berkenaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Kenderaan yang dicuri ialah Toyota Hilux Rogue 2.8 berwarna perak dengan nombor pendaftaran QBF 9938.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan atau suspek diminta menghubungi talian 012-8875567 atau 011-21886341 bagi membantu siasatan.
Oleh Connie Chieng