PETRA JAYA: Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, bakal membuat penampilan istimewa sempena Sambutan Tahun Baharu 2025 di Tebingan Kuching, 31 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara tahunan ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung seluruh Sarawak dengan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan artis terkenal.
Katanya, sambutan anjuran kementeriannya bersama Majlis Seni Sarawak (MSS) ini akan bermula seawal 8.00 pagi dengan segmen siang yang menampilkan aktiviti seperti Senamrobik-Senam Kenyalang, demonstrasi seni visual, pameran seni, dan persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) Junior.
“Pada sebelah malam, Segmen Pra Persembahan bermula 8.00 malam hingga 9.45 malam dengan persembahan daripada penyanyi tempatan seperti Harris Mukhriz, Isz Arfan, Harry Parren Ngau, Darren Jadriel Valentine, Norafizah Buseman, Ng Chien Chien, Roxy Ixzy, Aleysha, Ryan Zachary Van Der Horst, dan Siti Hasmah.
“Penonton juga akan dihiburkan oleh Excrozim Band dan sketsa komedi daripada Lan Perey dan Ashweein Narayanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Sambutan Tahun Baharu 2025 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, segmen rasmi, yang menjadi kemuncak acara, akan berlangsung dari 10.00 malam hingga 12.10 tengah malam.
“Persembahan pembukaan oleh kumpulan Permata Seni MSS dan tarian oleh I-Cats Performing Arts, Youngstersz, serta Kinate Dance Group dijangka mencuri perhatian. Selain Hetty Koes Endang, artis Malaysia seperti Zee Avi turut membuat penampilan istimewa.
“Selepas detik 12.00 tengah malam, program diteruskan dengan segmen pasca persembahan yang dimeriahkan oleh Akim & The Majistret serta band tempatan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul karim menasihati masyarakat sarawak yang ingin bersama memeriahkan acara tersebut untuk berkongsi kereta (carpool) bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan mereka untuk mencari tempat letak kenderaan.
Beliau juga mencadangkan agar pengunjung menggunakan servis e-hailing bagi ke tempat acara.
“Selain mencari tempat letak kereta di sekitar Tebingan Kuching, pengunjung juga boleh meletakkan tempat kenderaan mereka di Pangkalan Sapi dan menggunakan Jambatan Darul Hana untuk ke tempat acara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama keluarganya akan bersama hadir memeriahkan acara tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat