PASIR MAS: Helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi memberi bantuan bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang terputus hubungan akibat banjir di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tujuh daripada PPS itu ialah di Pengkalan Kubor, Tumpat manakala dua lagi di Lubok Jong, Rantau Panjang.
“Kekerapan penghantaran bergantung kepada keperluan di PPS itu dan kemungkinan besar kita akan minta bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia jika tidak memadai helikopter PDRM.
“Helikopter PDRM sudah tiba di Kelantan semalam (6 petang) selain kenderaan berat milik Angkatan Tentera Malaysia dan sebagainya, seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek di sini hari ini.
Beliau berkata helikopter itu telah pun mengangkut pesakit di PPS ke hospital selain menghantar bantuan makanan ke PPS yang terputus hubungan.
“Tadi kita sudah hantar seorang pesakit di PPS di Lubok Jong ke hospital iaitu warga emas yang terjatuh dan patah tulang rusuk, dan pagi tadi satu penghantaran bantuan makanan ke PPS di Lubok Jong.
“Kita juga akan membuat satu lagi penghantaran makanan hari ini ke PPS di Lubok Jong,” katanya.
Mohd Yusoff berkata kenderaan-kenderaan berat lima hingga tujuh tan yang dibawa ke negeri ini akan digunakan untuk mengangkut calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bermula Isnin ini. — BERNAMA