SARIKEI: Cabaran utama Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) adalah bagi memastikan pembayaran balik pinjaman skim Pinjaman Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) dilaksanakan.
Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi berkata, setakat November 2024, jumlah tunggakan di Bahagian Sarikei adalah RM4,024,179.80.
“Manakala peratus tunggakan setakat ini adalah 12.64 peratus dan jumlah pinjaman pula adalah RM31,844,506.96 untuk 70 rumah panjang.
“Skim ini berfungsi sebagai “rolling fund”. Jika peminjam gagal melunaskan bayaran balik, dana untuk pemohon baharu akan terjejas, sekali gus akan melambatkan proses bagi peminjam seterusnya.
“Untuk menangani isu ini, HDC menyeru peranan aktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tuai rumah sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat,” katanya ketika berucap di sesi ‘Randau’ Skim Pinjaman Rumah Panjang HDC 2024, bertempat di Aras 3, Dewan Serbaguna Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Abdul Yakub yang juga ADUN Balingian berkata, ADUN memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif tersebut.
“Tuai rumah pula adalah perantara utama antara kerajaan dan rakyat, membantu memastikan pembayaran balik dilaksanakan dengan lancar.
“Kegagalan untuk melunaskan pinjaman bukan sekadar merugikan skim, tetapi turut menjejaskan peluang pembangunan untuk peminjam yang seterusnya.
“HDC turut menyediakan pelbagai saluran pembayaran balik bagi memudahkan penduduk melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya.
Tambahnya, dengan kerjasama erat semua pihak, HDC percaya bahawa dana ini dapat terus dimanfaatkan secara adil dan lestari, memastikan kesejahteraan penduduk rumah panjang dan kampung terus terjaga.
“Pembayaran balik pinjaman PKPRP bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi satu amanah sosial.
“Jika gagal dilaksanakan, ia akan menjejaskan peluang generasi seterusnya untuk menikmati kemudahan sama.
“Kerjasama dan komitmen semua pihak adalah kunci untuk mencapai matlamat ini demi kesejahteraan semua,” katanya lagi.
Tegas beliau, HDC komited untuk memastikan dana yang diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk rumah panjang yang layak.
“Fokus utama HDC adalah untuk membangunkan infrastruktur rumah-rumah panjang dan mengenal pasti keperluan strategik agar manfaat ini benar-benar dirasai oleh semua penduduk,” tambahnya.
Turut hadir, ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meradong Datuk Ding Koung Hiing, ADUN Meluan Rolland Duat Jubin, Ahmat Adai selaku wakil ADUN Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh, wakil ADUN Semop Datuk Abdullah Saidol, Kapitan Ling Dien Yong selaku wakil ADUN Repok Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali.
Oleh Earl Anek