
SIMANGGANG: Seramai 30 penduduk Kampung Hilir Simanggang khatam Quran pada Majlis Khatamal al-Quran anjuran Jawatankuasa Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang, petang tadi.
Penasihat Surau Kebahagiaan, Pemanca Abang Norin Abang Norudin memberitahu, 30 penduduk itu memperdengar bacaan masing-masing sejak malam pertama Ramadan.
Beliau berkata, kejayaan menamatkan bacaan al-Quran bukanlah matlamat utama majlis tersebut, sebaliknya penghayatan terhadap mesej dan pengertian al-Quran dalam kehidupan seharian yang lebih penting.
“Saya ucapkan tahniah kepada seramai 30 penduduk yang telah khatam Quran, program yang telah bermula sejak pada hari pertama Ramadan adalah bertujuan mengimarahkan surau ini yang merupakan program tahunan kita,” katanya.
Penganjuran program seperti ini mampu mengimarahkan sambutan Ramadan melalui program-program keagamaan selain memeriahkan institusi masjid mahupun surau menerusi program seperti ini.



Sementara itu, Temenggung Mohd Shah Achang berharap program seperti ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang serta diperluaskan lagi penyertaannya kepada penduduk kampung bagi membolehkan ramai lagi umat Islam menyertainya.
Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian cenderahati kepada 30 peserta yang telah menyertai Khatamal al-Quran. Turut disampaikan ialah cenderahati kepada imam dan bilal tarawih yang dilantik sepanjang Ramadan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi, Pengerusi Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang, Mas Mashore Mas Maslem, Timbalan Pengerusi Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang, Awang Samsudin Awang Jalal, Penghulu Rosli Ana, para jemputan dan penduduk setempat.
OLEH ADI SAFARMAN