SIBU: Hasrat seorang lelaki untuk memiliki kenderaan pacuan empat roda, lebur apabila diperdaya sehingga kerugian RM106,680.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berumur dalam lingkungan 40-an yang merupakan seorang peniaga melihat satu iklan jualan kereta yang dimuat naik oleh pemilik akaun facebook Nor Motorsport di aplikasi ‘facebook’.
“Mangsa kemudiannya menghubungi nombor yang tertera dalam iklan yang menggunakan nama Nor Vincent dan Mr Jordan Liew melalui aplikasi ‘whatsApp’ untuk pertanyaan lanjut berkenaan kereta 2023 Ford Ranger Raptor 3.0 V6 dengan harga RM97,800.
“Bayaran dalam tempoh lima tahun adalah sebanyak RM1,630 sebulan,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, suspek telah menawarkan kepada mangsa sekiranya berminat, suspek akan memberikan harga sebanyak RM85,000 dan dikehendaki mengisi butiran maklumat peribadi milik mangsa seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, email dan alamat rumah.
“Pada 21 September lalu, mangsa bersetuju dengan tawaran suspek dan telah mengisi maklumat peribadi milik isteri mangsa dan menghantar gambar kad pengenalan serta gambar lesen memandu milik isterinya kepada suspek.
“Mangsa kemudiannya telah membuat pemindahan wang sebanyak 24 kali transaksi secara kesuluruhan sejumlah RM106,680 ke dalam empat akaun tempatan yang berlainan.
“Setelah selesai membuat pembayaran tersebut, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan wang lagi sebanyak RM7,800 bagi bayaran proses penghantaran kereta.
“Mangsa berasa curiga dan sedari telah terpedaya oleh suspek lalu membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran penjualan barangan secara atas talian dengan harga yang rendah terutamanaya melalui media sosial.