Hasil pertanian perlu diproses untuk tingkat nilai ekonomi

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Institut Pertanian Sarawak (IPS), di Kuching. Foto Adele Rissa

KUCHING, 9 November: Sarawak perlu mempergiat pemprosesan dan pengkomersialan hasil pertanian tempatan bagi meningkatkan nilai produk, memperluas pasaran serta menjana pulangan ekonomi lebih tinggi kepada pengusaha.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor pertanian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya perlu berkembang sebagai satu rantaian nilai yang merangkumi pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan pengedaran.

“Kita perlu melihat pertanian bukan semata-mata sebagai aktiviti menghasilkan bahan mentah, tetapi sebagai satu rantaian nilai yang menghubungkan pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan pengedaran kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Konvokesyen ke-21 Institut Pertanian Sarawak (IPS), di sebuah hotel, hari ini.

Menurut beliau, pengusaha juga perlu memahami aspek kos pengeluaran, kualiti produk, jangka hayat hasil, saluran pemasaran dan penetapan harga bagi memastikan aktiviti pertanian memberikan pulangan yang munasabah.

“Begitu juga, hasil pertanian yang berpotensi tinggi perlu diteroka melalui pemprosesan dan penambahan nilai supaya dapat memenuhi segmen pasaran yang lebih luas,” ujarnya.

Beliau menambah, Sarawak mempunyai potensi pertanian yang luas merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, selain pelbagai aktiviti pemprosesan serta pengkomersialan produk berasaskan pertanian.

Jelasnya, usaha memperkukuh sektor berkenaan turut berkait rapat dengan keterjaminan makanan yang memerlukan pengeluaran secara konsisten, pengurusan sumber yang cekap dan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pertanian dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan sebenar industri.

“Dalam erti kata lain, kita memerlukan graduan yang bukan sahaja tahu melakukan sesuatu pekerjaan, tetapi juga mampu berfikir, menyelesaikan masalah dan menambah baik proses kerja,” jelasnya. 

Dr Rundi turut menggalakkan graduan IPS supaya meneroka peluang dalam bidang agro keusahawanan, termasuk membangunkan perusahaan sendiri, perkhidmatan teknikal pertanian atau menjalinkan kerjasama dengan pengusaha sedia ada.

Beliau berkata, graduan yang berminat menjadi usahawan tani perlu mengenal pasti peluang pasaran, memahami keperluan pelanggan serta menyediakan perancangan perniagaan yang realistik sebelum mengembangkan perusahaan masing-masing.

Oleh Adele Rissa 

JPJ Sarawak perkasa keselamatan pemandu DBKU

KUCHING, 8 November: Seramai 32 pemandu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyertai Kursus Pemanduan Berhemah dan Penyelenggaraan Kenderaan bagi meningkatkan