JPJ Sarawak perkasa keselamatan pemandu DBKU

Facebook
WhatsApp
DEMONSTRASI KESELAMATAN – Muhai Mohamed memberi penerangan mengenai aspek keselamatan kenderaan dengan bantuan demonstrasi peralatan keselamatan dalam Kursus Pemanduan Berhemah dan Penyelenggaraan Kenderaan anjuran DBKU. Foto JPJ

KUCHING, 8 November: Seramai 32 pemandu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyertai Kursus Pemanduan Berhemah dan Penyelenggaraan Kenderaan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

Kursus yang dianjurkan DBKU itu turut menampilkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak sebagai pengisi slot ceramah berkaitan undang-undang jalan raya dan amalan pemanduan berhemah.

PEMAKAIAN TOPI KELEDAR – Muhai Mohamed menunjukkan cara pemakaian topi keledar yang betul sebagai antara langkah penting untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal. Foto JPJ

JPJ Sarawak menerusi tenaga penceramahnya, Sarif Aman, menyampaikan taklimat berkaitan undang-undang, peraturan serta kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Sementara itu, slot pemanduan berhemah disampaikan oleh Muhai Mohamed yang memberi pendedahan mengenai ciri-ciri dan amalan pemanduan yang selamat ketika berada di jalan raya.

Penganjuran kursus itu bertujuan memastikan para pemandu mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang lebih baik terhadap aspek keselamatan, khususnya ketika menjalankan tugas.

Menurut JPJ Sarawak, program seumpama itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara kedua-dua agensi, selain melahirkan pemandu yang lebih kompeten, berdisiplin dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada DBKU atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan kursus berkenaan.

JPJ Sarawak komited untuk terus menyokong usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menerusi perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan demi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua pengguna.