KUCHING, 9 November: Penduduk di Skim Penempatan Semula Stampin hidup dalam kebimbangan susulan kejadian berulang ular dan biawak memasuki kediaman mereka dipercayai berpunca daripada rumah kosong berhampiran yang dipenuhi semak-samun dan rumput panjang.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, beliau baru-baru ini melawat penduduk terjejas selepas menerima aduan dan permohonan bantuan berhubung masalah berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu amat membimbangkan memandangkan seorang penduduk pernah dipatuk ular tahun lalu sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Ketika lawatan tersebut, beliau turut ditunjukkan beberapa rumah berhampiran yang telah lama terbiar dan tidak diselenggara, dengan rumput panjang serta tumbuhan liar menjadikan kawasan berkenaan habitat sesuai untuk ular dan biawak.
Katanya, penduduk telah beberapa kali mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), namun sering dimaklumkan bahawa tanggungjawab menyelenggara premis berkenaan terletak pada pemilik masing-masing.
“Sudah tentu pemilik hartanah bertanggungjawab menyelenggara premis mereka. Namun, adakah ini bermakna MBKS boleh lepas tangan begitu sahaja apabila keselamatan penduduk dipertaruhkan?” soalnya.

Kong berkata, Seksyen 25(9) Ordinan Bangunan memberikan kuasa kepada MBKS untuk mengambil tindakan, sekali gus mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tempatan itu dilihat keberatan menggunakan kuasa tersebut bagi mengarahkan pemilik membersihkan dan menyelenggara premis mereka.
“Majlis tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan bahawa perkara itu tanggungjawab pemilik, sedangkan mereka gagal memastikan pemilik benar-benar melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa MBKS dilihat lebih pantas dan bersedia menggunakan kuasanya dalam urusan melibatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP), namun seolah-olah keberatan bertindak apabila penduduk biasa memohon bantuan berhubung isu keselamatan.
Sehubungan itu, Kong menggesa MBKS supaya berhenti menolak tanggungjawab, mengenal pasti pemilik hartanah terlibat, mengeluarkan notis sewajarnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian.
“Penduduk tidak sepatutnya perlu menunggu sehingga berlaku satu lagi kejadian patukan ular atau insiden serius sebelum MBKS akhirnya mengambil tindakan.
“Majlis perlu berhenti memberikan alasan dan mula menggunakan kuasa yang ada bagi memastikan masalah ini ditangani dengan sewajarnya serta keselamatan penduduk terjamin,” tegasnya.




