LIMBANG: Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai setiap tahun menjadi titik penyatuan rakyat untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan makmur menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, aspek perpaduan terus diberi penekanan sebagai pemangkin kepada kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Marilah kita memeriahkan Hari Sarawak dengan semangat untuk terus bekerjasama, bertoleransi dan membantu kerajaan Sarawak yang dipimpin Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam usaha memajukan negeri ini.
“Beliau merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh dalam memacu pembangunan Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, rakyat Sarawak perlu terus berdiri teguh dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Premier Sarawak demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, Abang Johari ialah seorang pemimpin yang komited memperjuangkan hak Sarawak di samping merancakkan pembangunan sosioekonomi, termasuk di Limbang.
Beliau berkata, kepimpinan yang dinamik dan berpandangan jauh itu diyakini mampu merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030 serta membawa negeri ini ke arah pembangunan yang lebih cemerlang.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak agar terus berganding bahu menyokong serta menjayakan agenda dan dasar kerajaan negeri.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan setiap inisiatif dan rancangan pembangunan memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
Oleh Adeng Edrus



