Hari Sarawak: Hayati ungkapan ikonik dua tokoh dan sejauh mana tuntutan MA63 dipenuhi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KETIKA kita menyambut Hari Sarawak Rabu depan, 22 Julai, ungkapan ikonik dua tokoh sebelum ini perlu terus diingati dan dihayati maknanya.

Semua orang tahu ungkapan itu dan siapa yang mengutarakannya meskipun bukan slogan rasmi kerajaan Sarawak. Namun kata-kata itu tetap segar dalam ingatan yang menjadi renungan setiap kali kita menyambut Hari Sarawak.

Ungkapan keramat yang tidak pernah dilupakan ialah kata-kata pemimpin ulung Iban yang juga individu penting menyokong penubuhan Malaysia, mendiang Tun Jugah Barieng, yang berbunyi: ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’

(Janganlah Malaysia seperti tebu, manis pada permulaan tetapi tawar di penghujung.”

Satu lagi ialah kata-kata Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Nan’ berbunyi: Jaga Sarawak bait-bait (Jaga Sarawak baik-baik) juga sentiasa dalam ingatan rakyat Bumi Kenyalang ini.

Dua ungkapan bersejarah ini mempunyai mesej penting untuk dipegang oleh sesiapa sahaja memimpin Sarawak pada masa akan datang dan pastikan hak Sarawak bukan sahaja dilindungi, malah dipertahankan daripada sebarang ‘pencerobohan’.

Ungkapan “Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung” oleh mendiang Tun Jugah diungkapkan sekitar 1962–1963, iaitu semasa rundingan pembentukan Malaysia.

Tarikh tepat ucapan tersebut tidak direkodkan secara rasmi, namun ia dikaitkan dengan tempoh Suruhanjaya Cobbold menjalankan tinjauan di Sarawak dan Sabah serta ketika pemimpin tempatan membincangkan syarat penyertaan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.

TUN Jugah Barieng

Tun Jugah menggunakan ungkapan tersebut sebagai peringatan supaya janji dan jaminan yang diberikan kepada Sarawak ketika pembentukan Malaysia tidak dilupakan selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Oleh sebab itu, ungkapan ini dianggap keramat dan sering dirujuk dalam perbahasan berkaitan hak Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ungkapan Tok Nan ‘jaga Sarawak bait-bait’ mula menjadi terkenal sekitar 2014–2015 selepas beliau mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014.

Tok Nan menggunakannya dalam beberapa ucapan awam sebagai pesanan kepada rakyat agar menjaga kepentingan dan hak Sarawak dengan berhati-hati serta bersatu mempertahankan negeri.

Kenapa ungkapan ini penting?

Ia menjadi slogan tidak rasmi yang melambangkan pendirian Tok Nan untuk mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963, menuntut lebih autonomi bagi Sarawak serta menjaga sumber dan kepentingan negeri selain memupuk semangat ‘Sarawak didahulukan’ dalam kalangan rakyat.

Walaupun sukar menentukan tarikh pertama beliau menyebutnya secara rasmi, ungkapan itu menjadi sangat popular sepanjang pentadbiran beliau dari 2014 hingga 2017 dan terus digunakan oleh rakyat Sarawak hingga hari ini sebagai simbol kasih sayang dan tanggungjawab terhadap negeri.

Ketika kita menyambut Hari Sarawak yang diraikan di Sibu, Rabu ini, kita perlu merenung sejenak apa pencapaian 63 tahun lalu dari segala segi setelah pembentukan Malaysia.

Apakah kita berpuas hati dengan sebahagian tuntutan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipenuhi?

Hakikatnya, tidak semua tuntutan MA63 telah ditunaikan, sebahagian sudah dan sebahagian lagi belum.

Secara ringkas setakat awal 2026, Kerajaan Persekutuan menyatakan 13 daripada 29 tuntutan utama MA63 telah diselesaikan, manakala 16 lagi masih dalam rundingan atau belum dimuktamadkan.

Antara tuntutan MA63 yang telah ditunai dan diselesaikan:

  • Pengiktirafan JKR Sabah & Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah AP182.
  • Pindaan Akta LHDN 1995 – wakil Sabah dan Sarawak menjadi anggota tetap LHDN.
  • Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak diperkemas mengikut semangat MA63.
  • Pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.
  • Pindaan Perkara 1(2) dan 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang membentuk Malaysia.
  • Kuasa pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Sabah dan Sarawak.
  • Garis panduan penyerahan semula tanah rizab Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Tuntutan yang belum selesai / masih dirundingkan. Antara isu besar yang masih belum dimuktamadkan:

1. Pemberian khas kewangan di bawah Perkara 112D

• Setakat ini hanya penyelesaian interim / sementara dicapai (RM600 juta mulai tahun ini).

2. Tuntutan 40% hasil bersih Sabah

• Isu paling besar dan sensitif.

• Masih dalam proses semakan dan rundingan antara kerajaan Sabah dan Persekutuan.

3. Kuasa berkaitan alam sekitar

• Sudah ada keputusan dasar, tetapi pelaksanaan penuh belum dimuktamadkan.

4. Kuasa berkaitan tenaga buruh

• Sabah dan Sarawak mahu autonomi yang lebih luas dalam pengurusan tenaga kerja.

5. Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman

• Sudah ada persetujuan dasar, tetapi memerlukan pindaan perundangan/perlembagaan.

6. Isu minyak dan gas

• Sarawak menuntut pengiktirafan hak yang lebih besar terhadap sumber petroleum dan gas.

• Kerajaan Persekutuan menegaskan pengurusan petroleum masih tertakluk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974.

• Rundingan masih berterusan.

7. Autonomi pendidikan

• Sarawak khususnya mahukan kuasa yang lebih luas dalam pengurusan pendidikan dan pelantikan guru.

• Belum diselesaikan sepenuhnya.

8. Beberapa isu pentadbiran dan perkhidmatan awam negeri

• Melibatkan pemindahan kuasa tertentu daripada agensi Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Mengapa masih belum selesai?

Menurut Kerajaan Persekutuan, baki tuntutan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang sedia ada dan persetujuan politik antara Persekutuan dan negeri.

Apakah kita berpuas hati dengan tahap pembangunan yang ada di Sarawak sekarang?

Tidak dapat dinafikan banyak lagi pembangunan perlu dilakukan kerajaan terutama di luar bandar dan pedalaman.

Namun, kita bersyukur apabila kerajaan Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri untuk membina 16 jambatan utama membabitkan kos RM5.9 bilion.

Rakyat Sarawak sudah selesa dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Apabila Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (mulai 13 Januari 2017) mengambil alih jawatan Ketua Menteri keenam (kemudian dikenali sebagai Premier Sarawak), legasi Tok Nan untuk memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis, diteruskan.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Rancangan Colombo dan Sarawak

SELEPAS tamatnya Perang Dunia Kedua, keadaan di Sarawak mengalami kemerosotan yang agak serius dan memerlukan pemulihan untuk mengembalikan kemakmuran sebelum