PETRA JAYA: Yayasan Jantung Sarawak akan mengadakan sambutan Hari Jantung Sedunia tahun ini di Taman Perpaduan yang juga dikenali sebagai Reservoir Park Kuching, Ahad depan.
Ini adalah kali pertama sejak 2013, Yayasan Jantung Sarawak boleh menganjurkan acara itu pada Hari Jantung Sedunia yang sebenar iaitu 29 September, memandangkan ia jatuh pada Ahad.
Menurut Timbalan Premier merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak serta Pengerusi Pengelola, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, seramai 2,000 peserta dijangka menyertai sambutan Hari Jantung Sedunia tahun ini.
“Tema untuk Hari Jantung Sedunia tahun ini ialah ‘Gunakan Hati Untuk Bertindak’. Kempen tahun ini memberi tumpuan kepada motivasi setiap negara untuk mempunyai pelan tindakan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular,” katanya dalam sidang media sempena sambutan Hari Jantung Sedunia di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Hari Jantung Sedunia adalah peringatan kepada semua orang di seluruh dunia untuk menjaga hati mereka.
“Ia merupakan acara global yang menyaksikan individu, keluarga, komuniti, organisasi dan kerajaan di seluruh dunia mengambil bahagian dalam aktiviti untuk menjaga kesihatan jantung mereka dan orang lain,” katanya.
Penyakit kardiovaskular kekal sebagai pembunuh terbesar di dunia – bertanggungjawab untuk lebih daripada 20.5 juta kematian setiap tahun.
80 peratus kematian pramatang akibat penyakit kardiovaskular boleh dicegah.
“Dengan membuat perubahan kecil pada gaya hidup kita – apa yang kita makan dan minum, berapa banyak kita bersenam dan cara kita menguruskan tekanan – kita boleh menguruskan kesihatan jantung kita dengan lebih baik dan mengalahkan penyakit kardiovaskular,” katanya lagi.
Yayasan Jantung Sarawak menganjurkan untuk mendidik orang ramai tentang penyakit jantung dan pengesanan awal supaya mereka boleh hidup lebih lama dan jantung lebih sihat.
Yuran pendaftaran RM30 untuk ‘Walk-A-Mile’ disertakan dengan baju-T Yayasan Jantung Sarawak, topi tajaan SOP Foods Sdn Bhd, sarapan pagi dan tiket untuk cabutan bertuah.
Hadiah cabutan bertuah adalah semua produk elektrik isi rumah.
Pusat Jantung Sarawak akan menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma yang meliputi indeks jisim badan, glukosa darah, tekanan darah, kolesterol serta konsultasi kesihatan dengan doktor mulai 6.30 pagi dan seterusnya.
Pakar fisioterapi dengan Pusat Jantung Sarawak akan menjalankan ‘Ujian Kecergasan’ juga aktiviti termasuk senamrobik dan tarian baris.
Yayasan Jantung Sarawak memerlukan sokongan semua orang untuk Hari Jantung Sedunia untuk melawan penyakit jantung dan menggalakkan kesihatan jantung.
Yayasan ini ditubuhkan pada 1996 sebagai badan amal untuk mempromosikan komuniti yang sihat jantung di Sarawak.
Aktiviti teras termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit jantung miskin di Sarawak untuk rawatan jantung di Malaysia, pameran kesihatan awam, ceramah kesihatan serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Selain menaja peralatan perubatan untuk pemulihan pesakit jantung di hospital awam di Sarawak, Yayasan juga menyediakan geran dan tajaan kepada hospital, institusi pengajian tinggi dan profesional dalam bidang perubatan bagi membolehkan mereka menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit jantung.
Oleh Nur Ain Otsman