Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Hari Ibu: Cabaran, pengorbanan ibu bekerja imbangi kerjaya dan keluarga
  • NASIONAL

Hari Ibu: Cabaran, pengorbanan ibu bekerja imbangi kerjaya dan keluarga

Utusan Sarawak 5 hours ago

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Ibu esok, ia pasti menjadi detik penuh bermakna buat insan bergelar ibu.

Hari Ibu bukan sekadar sambutan tahunan pada setiap Ahad minggu kedua Mei tetapi turut menjadi lambang penghargaan terhadap kasih sayang, pengorbanan dan ketabahan golongan berkenaan dalam membesarkan generasi masa depan negara.

Seiring dengan cabaran kehidupan yang semakin kompleks, golongan ibu hari ini bukan sahaja menjadi tunjang keluarga dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, malah turut menggalas pelbagai tanggungjawab lain termasuk mengimbangi kerjaya dan kehidupan demi memastikan kesejahteraan keluarga terus terpelihara.

Tidak lagi sekadar dianggap sebagai “permaisuri” keluarga seperti pernah diungkapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengorbanan besar golongan berkenaan, ramai ibu sebenarnya berdepan cabaran emosi dan tekanan harian dalam usaha mereka memberikan yang terbaik buat insan tersayang.

Realiti itu turut tergambar menerusi tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menunjukkan hampir 66 peratus ibu di Malaysia berdepan kekangan masa peribadi, sekali gus mencerminkan cabaran berterusan mereka dalam mengimbangi tuntutan keluarga, kerjaya dan kesejahteraan diri.

Namun di sebalik segala kepayahan itu, semangat dan kasih seorang ibu tidak pernah berkurangan, malah terus utuh menjadi sumber kekuatan dan tempat berlindung buat keluarga dalam apa jua keadaan.

Bagi Faridah Abd Rahman, 50, kehidupan sebagai ibu kepada anak perempuan autisme berusia 22 tahun mengajarnya erti kesabaran dan pengorbanan yang sebenar.

Pensyarah Teknologi Maklumat di UCSI College itu mengakui bukan mudah membesarkan anak istimewa sambil mengimbangi komitmen kerjaya dan keluarga.

“Menjaga anak autisme memerlukan kesabaran tinggi kerana mereka mempunyai keperluan unik. Cabarannya termasuk komunikasi, tingkah laku sukar difahami, keperluan perubatan dan intervensi berterusan. 

“Sebagai ibu yang mempunyai anak autisme, banyak pengorbanan dari segi masa dan tenaga. Kadangkala saya perlu letakkan keutamaan anak melebihi diri sendiri. Bagaimanapun, setiap pengorbanan adalah tanda kasih sayang mendalam terhadap anak,” katanya kepada Bernama. 

Faridah mengakui beliau pernah berdepan rasa bersalah apabila tidak dapat memberi perhatian penuh kepada anak tunggalnya itu ketika tuntutan kerja dan urusan rumah tangga bertembung, namun tetap bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada suami, keluarga dan rakan sekerja.

“Sistem sokongan pasangan, keluarga dan rakan sekerja sangat penting. Sokongan ini menjadikan perjalanan sebagai ibu lebih ringan dan memberi semangat untuk terus sabar,” katanya.

Sementara itu, T. Vigramatigautam, 36, berkata kasih terhadap keluarga mendorong beliau membuat keputusan besar meninggalkan kerjaya dalam sektor perkhidmatan pelanggan dua tahun lepas demi menjaga ibu yang uzur serta memberi perhatian penuh kepada anak-anak.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya itu berkata keputusan itu dibuat selepas melihat keadaan ibunya yang semakin merosot akibat komplikasi penyakit sehingga kehilangan kedua-dua kaki.

“Mulanya, saya bekerja syif malam supaya dapat jaga ibu pada waktu siang dan mengurus anak sulung yang ketika itu berusia dua tahun. Namun, ibu saya dalam masa kira-kira setahun setengah, kehilangan kedua-dua kaki akibat komplikasi penyakit. Sangat sukar melihat keadaannya,” katanya.

Walaupun ibunya meninggal dunia pada September 2024, wanita yang mesra dipanggil Vicra itu memilih untuk tidak kembali bekerja, sebaliknya mahu memberi sepenuh perhatian kepada proses pembesaran dua anaknya.

Kini, beliau mengisi masa dengan menghasilkan lukisan kanvas dan menerima tempahan seni dinding bagi menambah pendapatan keluarga. 

“Bila saya siapkan lukisan dan pelanggan gembira, saya rasa puas. Ia beri semangat untuk teruskan,” katanya.

Dua kisah itu hanyalah sebahagian kecil daripada pengorbanan jutaan ibu di negara ini yang sering mengetepikan impian dan kepentingan diri demi memastikan keluarga terus menerima kasih sayang dan perhatian secukupnya.

Di sebalik kekuatan yang sering dianggap luar biasa itu, golongan ibu tetap memerlukan sokongan berterusan termasuk dasar dan persekitaran lebih mesra keluarga agar mereka mampu mencapai potensi diri tanpa mengabaikan kesejahteraan sendiri dan insan tersayang.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pindaan Akta Kesalahan Kecil 1995 dijangka bantu atasi kesesakan penjara
Next: Tentera Darat perketat kawalan sempadan, kekang aktiviti penyeludupan menjelang Aidiladha

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.