ISTANBUL: Harga minyak meningkat lebih tujuh peratus pada Rabu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Washington akan memberikan tindak balas tegas terhadap cubaan serangan Iran ke atas tentera AS di Asia Barat.
Penanda aras minyak mentah Brent meningkat kira-kira tujuh peratus kepada sekitar AS$90 setong setakat 2 petang GMT, manakala penanda aras minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik kira-kira tujuh peratus kepada AS$84.60 setong.
Anadolu Ajansi melaporkan Trump berkata Iran akan berdepan tindak balas tegas selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan peluru berpandu balistik yang menyasarkan tentera AS.
Menurut Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), peluru berpandu itu berjaya dipintas. Serangan berkenaan dilaporkan menyasarkan sebuah pangkalan tentera AS di Jordan.
Pertempuran yang kembali tercetus menamatkan tempoh singkat reda dalam konflik yang sebelum ini menyebabkan harga minyak susut pada awal minggu berikutan jangkaan kemungkinan ketegangan akan mereda.
Kebimbangan terhadap bekalan minyak turut meningkat susulan serangan oleh kumpulan yang disokong Iran, termasuk serangan dron yang menyasarkan kemudahan minyak di Wilayah Timur Arab Saudi, selain peningkatan risiko terhadap perkapalan di Selat Hormuz dan Laut Merah.
Sementara itu, data Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan stok minyak mentah AS susut sebanyak 3.3 juta tong minggu lepas, sekali gus memberi sokongan tambahan kepada kenaikan harga minyak. – Bernama-Anadolu




