Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Harapan nak guna 17 kerusi DUN baharu untuk PRN berkecai
  • KOLUMNIS

Harapan nak guna 17 kerusi DUN baharu untuk PRN berkecai

Utusan Sarawak 7 hours ago

HARAPAN Sarawak untuk mengguna pakai 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berkecai berikutan tindakan lambat Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR sedia maklum lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak sudah pun berakhir pada 2023, setelah kali terakhir kajian itu pada 2015.

Pada 3 Februari 2025, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan di Dewan Rakyat bahawa SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan berkenaan.

Mengapa SPR tidak melakukannya sebaik tempoh lat lapan tahun itu berakhir? Azalina kata ‘SPR sedang meneliti’ dan sekarang sudah 2026, masih lagi meneliti?

Sarawak sudah membuka jalan bagi memudahkan urusan persempadanan semula SPR apabila sidang khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025.

Ini bagi memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia.

Apakah SPR menunggu ‘lampu hijau’ Kerajaan Persekutuan baru nak mulakan langkah? Mengapa Putrajaya tidak ‘push’ usul penambahan 17 kerusi DUN baharu Sarawak itu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat?

Kecewa

Sejak usul itu diluluskan, Parlimen telah bersidang sebanyak tiga kali, namun sehingga kini tiada usaha dilakukan untuk membawanya ke Parlimen bagi mendapatkan pengesahan.

Seperti kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Sarawak kecewa terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan membawa usul penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak ke Parlimen bagi mendapatkan pengesahan, walaupun usul berkenaan telah diluluskan hampir sebulat suara oleh DUN Sarawak sejak tahun lalu.

“Kita hanya minta Parlimen memberikan pengesahan. Kita bukan minta Parlimen menentukan sama ada hendak tambah atau kurangkan kerusi kerana itu adalah hak kerajaan negeri yang telah diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya pada sidang media Selasa lepas.

Apakah pihak Kerajaan Persekutuan takut nanti, Sarawak ‘demand’ pertambahan kerusi Parlimen pula?

Tetapi Sarawak tidak pernah mengeluarkan ‘demand’ seumpamanya, cuma mahu menuntut hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, iaitu 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, hendaklah dari Sarawak dan Sabah.

Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.

Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen. Jika sebarang pertambahan kerusi Parlimen di Semenanjung kelak, maka Sabah dan Sarawak juga perlu ditambah untuk mengekalkan tahap 35 peratus itu.

Tidak sempat

Apabila Datuk Amar Fadillah Yusof menyatakan bahawa cadangan persempadanan semula yang melibatkan penambahan 17 kerusi baharu DUN) Sarawak dijangka tidak sempat dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, bermakna ia kemungkinan besar tidak sempat digunakan untuk PRN akan datang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, maklumat itu diperoleh daripada SPR kerana perlu melalui beberapa proses dan prosedur di bawah agensi itu termasuk pameran awam sebelum memberi ruang kepada orang ramai mengemukakan bantahan atau maklum balas.

Saya ulang – Mengapa SPR tidak melakukannya sebaik tempoh lat lapan tahun itu berakhir pada 2023?

Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.

Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027 tetapi ramalan popular ialah pada November/Disember ini.

Berikutan proses SOP SPR, apatah lagi ia dijangka dibentangkan tahun depan di Parlimen, agak mustahil 17 kerusi DUN baharu itu sempat untuk PRN ke-13 nanti.

Namun mungkin ada ‘blessing in disguise’ (hikmah) di sebalik hal ini, sekurang-kurangnya meredakan perebutan (jika ada) untuk kerusi baharu dalam kalangan parti komponen GPS serta mengendurkan perdebatan wilayah atau kaum mengenai cadangan lokasi 17 kerusi DUN itu.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Jangan pandang rendah kuasa politik baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.