Hanya seorang mangsa kebakaran paip gas masih dirawat di hospital

Facebook
WhatsApp
MUSNAH… Keadaan semasa kediaman penduduk dan sebuah kenderaan yang musnah ketika tinjauan fotoBernama di lokasi kejadian kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Hanya seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin.

Beliau berkata pesakit berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

“Apa yang saya boleh sahkan ialah hanya seorang pesakit dirawat di ICU hospital di bawah Selangor, iaitu dirawat di Hospital Ampang setakat pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Ummi Kalthom berkata, tiga pesakit yang dirawat di Hospital Cyberjaya pula kini dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Pengarah Hospital Cyberjaya Dr Shahabuddin Ibrahim mengesahkan tiada lagi mangsa kejadian dirawat di hospital itu.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat 3.00 petang, mangsa dirawat di fasiliti kementerian itu melibatkan 86 kes manakala 46 di fasiliti swasta.

Di Hospital Cyberjaya, setakat semalam jumlah kes ialah 26 dengan 23 pesakit telah dibenarkan keluar wad manakala seorang di ICU dan dua dirujuk ke HKL. – Bernama