
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (tengah) meraikan gol pembukaan bersama rakan sepasukan ketika menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester. Liverpool menang 2-0. – Foto AFP
MANCHESTER, England: Impian Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin cerah ketika kemenangan 2-0 ke atas Manchester City awal pagi tadi membuka semula jurang 11 mata di depan Arsenal di puncak liga.
Mohamed Salah sekali lagi muncul pemain terbaik Liverpool apabila dia membuka tirai jaringan dengan gol ke-30 musim ini sebelum mengumpan kepada Dominik Szoboszlai untuk menggandakan kelebihan sebelum rehat.
Hanya beberapa hari selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Real Madrid, ini satu lagi kekalahan memilukan buat juara Inggeris, yang kini ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu.
Banyak kali ketika tempoh gemilang Pep Guardiola, Liverpool tidak mampu mencabar dalam permusuhan dua kelab hebat Inggeris dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, kali ini usaha mereka untuk menyamakan rekod 20 kejuaraan liga utama Inggeris milik Manchester United kelihatan hanya menunggu masa sahaja dalam musim sulung kendalian Arne Slot.
Kekalahan mengejut Arsenal 1-0 di laman sendiri kepada West Ham kelmarin mengendurkan tekanan buat Liverpool, yang tercipta selepas mereka mencicirkan mata dalam dua aksi terakhir liga di Everton dan Aston Villa.
Kunjungan ke Etihad sudah lama menjadi ujian paling getir, tetapi kelemahan benteng pertahanan City mudah dirobek dan mereka turut terlepas khidmat Erling Haaland yang cedera di jentera serangan.
Liverpool sebaliknya mempunyai pemain tonggak yang cergas dan menggegar ketika Salah mengumpul 25 gol musim ini selain 16 umpanan gol dalam 27 penampilan EPL.
Pemain Mesir itu meletakkan pelawat di depan selepas 14 minit susulan satu rutin set-piece yang cemerlang.
Tendangan sudut Alexis Mac Allister ditampan Szoboszlai ke kaki Salah dan percubaannya terkena badan Nathan Ake sebelum melepasi jangkauan Ederson.
Salah sekali lagi bertindak cemerlang apabila dia meluru menyambut bola hantaran jauh sebelum mengumpan kepada Szoboszlai yang memperdaya Ederson bagi gol kedua pada minit ke-37.
Di sebalik kekalahan kelapan dalam liga musim ini, anak buah Guardiola kekal di tangga keempat dan berkeyakinan untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dengan penamat lima teratas dilihat sudah memadai. – AFP