SEBASTIEN Haller meringankan kesengsaraan West Ham dengan menjaringkan dua gol untuk kemenangan 3-0 ke atas Charlton dalam perlawanan pusingan kedua Piala Liga Inggeris semalam.
Penyerang dari Perancis, Haller menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit di pertengahan separuh masa pertama dan Felipe Anderson menambah gol ketiga untuk pasukan kendalian David Moyes.
Itu adalah keputusan yang sangat diperlukan bagi Hammers, yang bakal menghadapi Leeds atau Hull dalam pusingan ketiga, setelah mereka memulakan musim Liga Perdana Inggeris dengan kekalahan 2-0 di tempat sendiri menentang Newcastle, Sabtu lepas.
Kemenangan itu muncul setelah tunjuk perasaan peminat terhadap pemilik bersama David Gold dan David Sullivan, sementara kapten West Ham, Mark Noble mengkritik kurangnya cita-cita kelab itu berikutan penjualan pemain tengah yang berbakat Grady Diangana kepada West Bromwich Albion.
Bersama Arsenal, Wolves, Leicester, Tottenham, Manchester City dan Liverpool menanti West Ham, adalah mustahak untuk mengelak daripada penyingkiran yang memalukan ketika menentang kelab divisyen tiga,Charlton, di Stadium London.
“Mungkin satu-satunya kekecewaan adalah kita seharusnya menang dengan lebih selesa,” kata Moyes.
“Tetapi dengan Seb memperoleh beberapa gol ia sudah tentu baik untuk keyakinannya. Kami mempunyai Michail Antonio yang menjaringkan gol untuk kami pada akhir musim lalu dan sekarang kami berharap Seb dapat menjaringkan gol.”
Jack Wilshere tidak disenarai dalam skuad West Ham walaupun terdapat 10 perubahan dilakukan oleh Moyes, dengan kelab itu dilaporkan ingin menjual pemain tengah yang mudah cedera itu.
Penyerang Tottenham, Harry Kane akan menghadapi pasukan yang jersi pasukan ditaja olehnya setelah Leyton Orient menewaskan Plymouth 3-2 sekali gus akan menyaksikan aksi pertembungan dengan anak buah Jose Mourinho.
Pasukan Liga Kejuaraan, Barnsley akan bertandang ke Chelsea selepas gol separuh masa pertama Patrick Schmidt dan Jordan Williams melengkapkan kemenangan 2-0 di Middlesbrough.
Luton menampah melengkapkan jadual perlawanan di tempat sendiri menentang Manchester United setelah menewaskan rakan dari Liga Kejuaraan, Reading 1-0 hasil tandukan Jordan Clark pada minit ke-24.
Kelab divisyen tiga Lincoln akan menjadi tuan rumah kepada juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool selepas mereka mengalahkan Bradford 5-0.
Ia akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua kelab sejak tahun 1961.
Semua pertandingan pusingan ketiga akan dilangsungkan minggu depan, dengan tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – AFP