KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan bahawa keutamaan hak dan kepentingan Sarawak adalah terus diperjuangkan selain GPS adalah rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Kita akan meneruskan perjuangan hak-hak serta kepentingan kita dan kita adalah rakan dalam Kerajaan PN tetapi GPS adalah entiti politik yang berlainan.
“Kita juga bertuah kerana wakil-wakil kita di Kuala Lumpur mempunyai perhubungan, polisi, kepimpinan yang sentiasa memberikan keutamaan kepada hak-hak Sarawak,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Auditorium, Ibu Pejabat PBB, di sini, semalam.
“Kerajaan Negeri di bawah GPS telah cuba untuk meringankan beban semua masyarakat melalui pelbagai bantuan dalam situasi semasa seperti Bantuan Koperasi Sarawakku Sayang (BKSS 1.0 hingga 3.0).
“Selain itu, kita juga telah membantu pelajar-pelajar yang terkandas di Semenanjung dan tempat lain dengan membawa mereka balik menggunakan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
“Kita juga telah berbincang mengenai dasar-dasar ekonomi negeri jangka pendek dan jangka panjang seperti meneruskan usaha membangunkan projek-projek yang telah diluluskan termasuk lebuh raya dan jalan persisir selain daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah diluluskan termasuk pembangunan sekolah daif,” jelasnya.
Menurutnya, projek-projek tersebut sudah tentu akan memberikan suntikan kepada ekonomi negeri jangka pendek.
“Dan untuk jangka panjang, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak sebagai agenda negeri dalam memulihkan ekonomi pasca Covid-19 dengan menekankan 10 kunci utama yang disenaraikan di bawah Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 sehingga 2030.
“Tetapi Sarawak sangat bertuah kerana kita sudah memperkenalkan digital ekonomi tiga tahun lalu dan hari ini rakyat sudah dapat mengadaptasi teknologi dalam kehidupan seharian termasuk perniagaan dan juga pembelajaran,” tambahnya.
Ujarnya, dari sudut ekonomi, kerajaan sudah mempunyai hala tuju dan PBB akan memainkan peranan untuk meneruskan usaha-usaha bersama rakan-rakan dalam GPS membangunkan Sarawak.
Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS, para barisan hadapan dan rakyat Sarawak yang telah bekerja keras dan memberi kerjasama serta berdisplin bagi memastikan Sarawak dapat menurunkan jangkitan di kalangan rakyat tempatan termasuk sedikit sebanyak memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.