
SIBU: Guru pada masa kini diibaratkan sebagai kompas di tengah lautan maklumat yang tidak berpenghujung dalam membimbing generasi muda menghadapi cabaran dunia moden dan perkembangan teknologi.
Guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Merah, Johnady Janton berkata, cabaran terbesar menjadi guru hari ini bukan sekadar menyampaikan silibus di dalam kelas, tetapi menyentuh hati serta membentuk jati diri murid agar menjadi insan berguna.
Menurutnya, limpahan teknologi dan perkembangan pesat dunia digital menjadikan tugas pendidik semakin mencabar kerana guru perlu memastikan murid tidak hilang arah dalam kehidupan.
“Di sebalik limpahan teknologi yang semakin mencabar, menjadi kompas di tengah lautan maklumat yang tidak bertepi adalah amanah yang amat berat, namun sangat mulia,” katanya sempena sambutan Hari Guru 2026.
Beliau berkata, harapan setiap guru adalah untuk melihat anak didik bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah kaya dengan adab dan nilai kemanusiaan.
“Ilmu tanpa budi adalah kosong. Teruslah mengejar impian dan terbang tinggi, namun jangan sesekali melupakan asal-usul serta nilai kemanusiaan yang dipupuk di sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang terus berbakti dengan penuh kasih sayang demi masa depan negara.
“Guru adalah arkitek bangsa yang mulia. Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik,” ujarnya.

Sementara itu, menurut seorang mahasiswa di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Elvina Agnes Runin Dominic, 21, sosok seorang guru merupakan individu penting dalam perjuangan seorang pelajar.
Mengimbau kembali, Elvina berkata Matematik merupakan mata pelajaran yang paling sukar baginya suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, minatnya terhadap subjek tersebut mula dipupuk selepas beliau terinspirasi oleh guru Matematiknya ketika di Tingkatan 5.
“Saya mendapat inspirasi daripada guru Matematik saya ketika Tingkatan 5. Beliau seorang guru yang sangat cekap dan tegas.
“Beliau bersungguh-sungguh mengajar serta melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. Ketika saya masih lemah dalam subjek Matematik, beliau banyak membantu saya dengan memberikan nota dan latihan untuk saya belajar,” jelas Elvina.
Elvina percaya kejayaan yang dikecapinya dalam peperiksaan adalah hasil kegigihan gurunya dalam mendidik dan membimbingnya.
“Saya juga memperoleh A dalam mata pelajaran tersebut di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sejujurnya, saya sangat bangga dengan cikgu saya kerana berjaya mengubah diri saya dan mengajar saya erti tidak berputus asa,” tambah Elvina.

Sementara itu, pelajar tahun akhir di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kelly Lyzz Domanic, 24, berkata, guru yang memberi inspirasi ialah seorang pendidik yang bukan sahaja mengajar ilmu pengetahuan, tetapi juga membentuk sikap disiplin, keyakinan diri dan masa depan pelajarnya.
“Sejujurnya, saya bukanlah seorang pelajar cemerlang di sekolah, tetapi tanpa bimbingan dan dorongan daripada cikgu, saya tidak akan sampai ke tahap ini.
“Pada pandangan saya, guru yang sentiasa sabar, memahami keadaan pelajar, dan sanggup berusaha lebih untuk memastikan setiap murid berjaya adalah guru yang sangat penyayang dan mengambil berat akan muridnya,” katanya.
Katanya, guru yang inspiratif juga mampu menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan kerana mereka memberi galakan ketika pelajar menghadapi kegagalan dan sentiasa menjadi pendengar yang baik.
“Sebenarnya, ramai guru yang memberi inspirasi kepada saya, tetapi salah seorang guru yang sangat memberi inspirasi kepada saya ialah Cikgu Roger. Walaupun beliau hanya mengajar saya ketika saya berada di Tingkatan 6 tetapi beliau sering memberi kata-kata semangat kepada saya ketika saya berada di titik kegagalan.
“Cikgu Roger juga banyak membantu saya dalam pelajaran terutamanya dalam subjek MUET, ” ujarnya.
Katanya, seorang guru yang memberi inspirasi bukan diukur melalui ketegasan atau kepandaian sahaja, tetapi melalui keikhlasan mereka mendidik dan kesungguhan membantu pelajar mencapai impian.
“Jasa guru seperti ini akan sentiasa diingati walaupun pelajar sudah berjaya pada masa hadapan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua cikgu yang telah bertungkus lumus untuk mencurahkan ilmu pengetahuan kepada saya,” katanya.
Katanya, guru bukan sahaja mengajar tetapi guru juga merupakan ibu bapa kepada semua anak didik mereka.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh Malaysia.
“Saya sangat menghargai jasa semua guru dan para pensyarah yang telah mengajar saya dan saya amat menyayangi mereka,” katanya.
Oleh Akun Giman