Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • YGMB, Great Eastern Takaful lancar skim perlindungan pendidik sempena Hari Guru
  • PENDIDIKAN

YGMB, Great Eastern Takaful lancar skim perlindungan pendidik sempena Hari Guru

Utusan Sarawak 4 hours ago
TIMBALAN Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB), Datuk Abdul Muie Ngah menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif YGBM, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Ketua MoU antara Great Eastern Takaful dan YGMB. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Great Eastern Takaful Bhd (GETB) menerusi kerjasama strategik bersama-sama Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) hari ini melancarkan tiga skim perlindungan takaful khusus untuk warga pendidik bersempena dengan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026. 

Skim itu merangkumi Skim Pendidik Muda, Skim Pendidik Perdana dan Skim Pendidik Budiman direka khas bagi menyediakan perlindungan kewangan yang menyeluruh, mudah diakses dan mampu milik kepada guru serta petugas sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara. 

Dalam kenyataan hari ini, GETB memaklumkan semua tiga skim perlindungan itu dirangka secara bersasar untuk memenuhi keperluan guru pada pelbagai peringkat kerjaya dan kehidupan dengan penekanan kepada perlindungan yang relevan serta berpatutan. 

Berdasarkan kenyataan itu, Skim Pendidik Muda disasarkan kepada pendidik yang baharu memulakan kerjaya dengan perlindungan asas meliputi kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) serta perlindungan bagi 50 penyakit kritikal dengan sumbangan serendah RM20 sebulan.

Skim Pendidik Perdana pula direka khas untuk guru telah berkeluarga, menawarkan perlindungan komprehensif kepada ahli, pasangan dan anak-anak pada hanya RM49 sebulan manakala Skim Pendidik Budiman memberi tumpuan kepada perlindungan jangka panjang sehingga usia 70 tahun dengan manfaat menyeluruh yang sama dengan caruman RM45 sebulan.

Syarikat itu memaklumkan semua skim itu menawarkan nilai perlindungan yang tinggi dengan kos harian serendah kira-kira RM0.66 hingga RM1.63, menjadikannya penyelesaian perlindungan mampu milik untuk warga pendidik di Malaysia.

“Dengan anggaran lebih 500,000 warga pendidik dalam ekosistem KPM, inisiatif ini memanfaatkan kekuatan rangkaian keahlian serta kredibiliti YGMB sebagai badan penaung buat pendidik, selaras dengan pendekatan berteraskan komuniti dan nilai “Daripada Guru Untuk Guru” yang menjadi asas perjuangannya sejak ditubuhkan pada 1994,” menurut kenyataan itu. 

GETB memaklumkan inisiatif itu turut menyokong agenda nasional dalam meningkatkan tahap literasi kewangan dan daya tahan kewangan warga pendidik di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Great Eastern Takaful Rashida Mior Ahmad Darwish berkata pelancaran produk tersebut membuktikan komitmen mereka menyediakan pelan perlindungan takaful yang inklusif dan mampan kepada komuniti pendidikan. 

“Kerjasama strategik dengan YGMB membolehkan kami menyediakan perlindungan berskala nasional yang menitikberatkan keperluan guru dan petugas sokongan KPM, di samping membuka ruang kerjasama jangka panjang yang lebih berimpak tinggi. 

“Kami juga menghargai jasa guru dan petugas sokongan melalui produk mampu milik yang ditawarkan. Pendekatan ini selari dengan peranan guru sebagai tunjang kepada pembentukan modal insan berkualiti serta pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata kerjasama itu menyediakan perlindungan yang praktikal, berpatutan dan relevan dengan realiti kehidupan warga pendidik. 

“Pelancaran skim bersempena dengan Hari Guru merupakan satu penghargaan yang bermakna kerana ia bukan sahaja mengiktiraf jasa guru, malah membantu melindungi masa depan mereka dan keluarga,” katanya. 

Terdahulu, pelancaran itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas yang turut melibatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara GETB dan YGMB yang disaksikan oleh Rashida serta Pengerusi YGMB Datuk Abdul Muie Ngah. – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Batik Air tawar promosi Hari Guru diskaun tambang hingga 30 peratus
Next: Guru ibarat kompas di tengah lautan maklumat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.