LIMBANG: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak mengenal pasti Limbang sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.
Ini membabitkan pelancongan alam semulajadi seperti Taman Gunung Buda yang diiktiraf sebagai khazanah dunia dan mampu menarik kemasukan pengunjung tempatan dan luar.
Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sektor pelancongan akan membuka peluang kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi domestik.
Beliau berkata Gunung Buda boleh dibangunkan dari aspek prasarana sebagai destinasi pelancongan yang mampu membuka peluang untuk menghidupkan lagi industri berkaitan pelancongan seperti penginapan, kraftangan, makanan dan sebagainya.
“Setakat ini memang ramai yang belum tahu potensi yang ada pada Gunung Buda.
“Oleh itu, kerajaan Sarawak akan membangunkan Gunung Buda selepas Gunung Mulu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), diikuti Gunung Niah dan Gunung Buda, kita akan buat satu persatu,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Belia Sarawak 2020@ Batu Danau di Dewan Tanjong Riman di sini semalam.
Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Penghulu Ekit Awang.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan memberitahu, kemudahan prasarana sukan juga akan dibangunkan di Limbang termasuk perancangan untuk membina kompleks sukan atau kompleks sukan mini di daerah itu.
Setiap bahagian di Sarawak mempunyai kompleks sukan begitu juga setiap daerah di Sarawak sekurang-kurangnya ada kompleks sukan mini untuk untuk gelanggang pelbagai jenis sukan, katanya.
“Pihak kita merancang untuk membina sembilan atau 10 kompleks sukan atau kompleks sukan mini termasuk pembinaannya di Limbang.
“Kita tidak mahu Limbang terlepas dalam perancangan kita dan kompleks sukan mini ini tidak hanya dibina di bandar tetapi juga di luar bandar,” tambahnya.
Beliau memberitahu ramai atlet sukan juga berasal dari kawasan luar bandar dan oleh sebab itu kerajaan perlu membangunkan prasarana sukan di luar bandar.
Melalui sukan ini, katanya ada input dan bakat baharu atlet dari luar bandar diketengahkan untuk mewakili bahagian termasuk atlet dari Limbang.