SARATOK: Sebanyak 22 keping saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di KM408 Lebuh Raya Pan Borneo, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata operasi berkenaan bermula 3.00 petang hingga selesai dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.
Menurut beliau, keseluruhan operasi melibatkan 13 pegawai dan anggota, terdiri daripada seorang pegawai dan 12 anggota daripada pasukan SJR.
“Dalam operasi ini, sebanyak 110 individu telah diperiksa, membabitkan 80 lelaki dan 30 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap 90 kenderaan yang melalui lokasi operasi.
Daripada jumlah itu, pemeriksaan melibatkan 12 motosikal, 50 kereta, 21 van dan kenderaan pacuan empat roda serta tujuh lori dan bas.
Hasil operasi, polis mengeluarkan 22 keping saman PDRM (K)257 atas pelbagai kesalahan, manakala tiada saman PDRM (K)170A dikeluarkan.
DSP Mathew berkata, operasi berkenaan turut bertujuan mengurangkan kesalahan lalu lintas, khususnya melibatkan penunggang motosikal di kawasan sekitar.
Selain itu, operasi turut dilaksanakan bagi mempamerkan kehadiran polis di kawasan tumpuan jenayah serta mengesan individu dikehendaki yang mempunyai kaitan dengan kes jenayah, narkotik dan komersil.
Beliau menambah, pemeriksaan secara bersasar terhadap individu dan kenderaan mencurigakan merupakan antara pendekatan yang digunakan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mencegah berlakunya kegiatan jenayah.
“Operasi bersepadu ini berjalan dengan baik dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Oleh Adi Safarman




