ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Jadual penghantaran,pengambilan dan pemunggahan bekalan makanan asas bagi kawasan pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat adalah sedang diurus dan dijangka perkhidmatan akan bermula pada 3 atau 4 April ini (hari ini dan esok).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga Dan Pembangunan KanakKanak merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, antara contoh kawasan pedalaman yang sukar dilalui jalan darat adalah se- perti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit.
“Sehubungan itu, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersetuju untuk membantu menghantar bekalan makanan menggunakan helikopter. “Manakala peruntukan telah mula disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mulai 1 April lalu dan dijangka proses penyaluran selesai semalam.
“Semua pusat ADUN telah diminta untuk membuat tempahan makanan dengan serta merta,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam. Tambahnya, sebanyak 44 buah pusat khidmat telah membuat tempahan bekalan makanan dan 38 lagi masih dalam proses berbuat demikian setakat Rabu.
Menurutnya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Sarawak juga telah diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 pusat jualan dan kedai runcit di seluruh Sarawak. “Semua pusat jualan atau kedai runcit ini telah dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Selain itu, setakat 1 April, semua jawatankuasa bencana bahagian dan daerah telah selesai mengenalpasti golongan sasaran, pusat pengagihan dan modus operandi penghantaran ke setiap rumah dan mengambil kira pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.
Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan adalah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ia bertanggungjawab memastikan bekalan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung adalah sentiasa mencukupi dalam tempoh PKP.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari pada 29 Mac lalu telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM16.4 juta dengan setiap kawasan DUN akan diperuntukkan RM200,000 untuk menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan dalam kawasan mereka.
Golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada mereka di luar bandar dan pendalaman, bandar miskin, dan mereka yang terputus pendapatan kerana PKP.