AZREEN KERIA
KUCHING: Semua empat parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah memuktamadkan pengagihan 31 kerusi Parlimen untuk dipertandingkan.
Malah, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengeluarkan manifesto sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS berkata, GPS juga bersetuju untuk sama-sama berjuang atas landasan ‘Sarawak First’ (Utamakan Sarawak).
“Kesemua (31 kerusi Parlimen) kawasan yang dipertandingkan sudah kita putuskan dalam kalangan parti komponen (GPS) yang kita letakkan calon-calon seperti mana yang telah diputuskan.
“Walaupun sekarang ini kita masih lagi melihat beberapa kerusi, kita lihat keadaan bagaimana. Kita belum tahu bila hari penamaan calon.
“Setelah itu barulah kita akan mendedahkan calon-calon GPS yang akan bertanding kelak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di sini, petang ini.
Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, buat kali pertama gabungan empat parti itu akan bertanding atas tiket GPS untuk pilihan raya umum.
“Malah GPS sudah bersedia untuk PRU-15 kelak. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membolehkan GPS menjalankan amanah yang telah diberi sejak PRN-12 yang lalu,”katanya.
Abang Johari turut menjelaskan apa yang penting adalah suara Sarawak yang kuat di peringkat Parlimen.
“Saya yakin bahawa mandat rakyat Sarawak untuk kita meneruskan perjuangan dalam membangkitkan diri kita daripada dasar-dasar nasional dan mempertahankan hak Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang baru-baru ini diterima menyertai PBB, beliau berkata, tunggu sehingga tarikh penamaan calon diumum oleh SPR.
Ditanya mengenai jumlah muka baharu ditampilkan GPS pada PRU-15 kali ini, Abang Johari berkata:
“Memang akan ada muka baharu.Tunggu sahaja.”
Pada PRU-14, GPS bertanding di 31 kerusi Parlimen yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (14 kerusi), Parti Rakyat Sarawak (6), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (7) dan Parti Demokratik Progresif (4).
Sebelum Parlimen dibubar baru-baru ini GPS mempunyai 18 kerusi Parlimen iaitu 13 milik PBB, PRS PDP masing-masing dua kerusi, manakala SUPP satu kerusi.