PETRA JAYA, 3 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula memperkemas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13) dengan menyelaras seluruh jentera parti komponen bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
Persiapan itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Persediaan PRN13 GPS yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya GPS berkata, persediaan awal merupakan rutin penting setiap kali menjelang pilihan raya bagi memastikan semua aspek gerak kerja dapat dilaksanakan secara tersusun, lancar dan berkesan.
Menurutnya, perancangan kali ini membabitkan semua parti komponen GPS dengan memberi tumpuan kepada aspek sekretariat, publisiti, komunikasi serta pengurusan operasi pilihan raya.
“Ini operasi biasa. Setiap kali pilihan raya, kita membuat persiapan daripada semua aspek, termasuk sekretariat, publisiti, komunikasi dan pengurusan supaya apabila tiba masanya, kita benar-benar bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan berjalan lancar tanpa membangkitkan sebarang isu besar memandangkan GPS mempunyai pengalaman serta perancangan operasi yang telah terbukti berkesan dalam pilihan raya terdahulu.
Katanya, pengalaman lalu menjadi asas penting untuk memperkukuh strategi dan memastikan setiap jentera parti bergerak mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Kita semua berpengalaman dan sudah mempunyai perancangan. Jadi, kita akan mengikut perancangan yang ada, di mana sebelum ini telah membawa kemenangan dengan baik.
“Kali ini, kita mahu menang dengan lebih baik,” katanya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri (Dr.) Richard Riot Jaem; serta Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Henry Harry Jinep.
Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita GPS, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Presiden PRS, Datuk Majang Renggi; Naib Presiden PBB, Dato Haji Ibrahim Baki; Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Setiausaha Agung PRS, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; serta Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Adi Safarman





