SELANGAU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negara ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, apa yang diperlukan adalah kerajaan yang stabil.
“Kita harap Perdana Menteri dapat membawa kerajaan yang stabil dalam membangunkan Malaysia.
“Saya beri jaminan inilah objektif GPS,” katanya pada majlis perasmian pembukaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak seksyen Selangau (WPC8) dan majlis perasmian penyerahan Peranti Siswa di Selangau Mukah Interchange Sibu, pagi ini.
Ia dirasmikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Abang Johari turut mengingatkan peristiwa pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), supaya tidak berulang.
“Dulu kerajaan PH membatalkan kesemua projek Pan Borneo sehingga menyebabkan kelewatan,” katanya.
Beliau berkata, Projek LPB sepatutnya sudah siap seperti jadual asal tetapi berlaku kelewatan gara-gara tindakan kerajaan PH ketika itu.
“Kini, kita rasmikan (lebihn raya) Pan Borneo (seksyen) Selangau yang bakal memberi manfaat kepada rakyat untuk berdagang dalam merancakkan lagi ekonomi,” katanya.
Katanya, Sarawak memang memerlukan banyak jalan raya dan jambatan terutamanya di jalan pesisiran pantai.
“Kita memang mahu jalan. Jadi PM tolonglah buat banyak jambatan di Sarawak.
“Kami juga mahu internet di Sarawak untuk memudahkan anak-anak mendapat kemudahan dari segi pendidikan dan menikmati kemudahan internet yang telah disediakan supaya mereka tidak payah cari pokok (untuk mencari talian internet).
“Oleh itu, kita di Sarawak juga harus memberi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dengan memberi kerusi yang banyak.
“Insha-Allah, GPS akan menang besar,” katanya.
Abang Johari turut mengharapkan rakyat di Selangau untuk memberi sokongan kepada GPS, jangan membiarkan PH memerintah bagi mengelak ‘pisang berbuah dua kali’.
“Berilah sokongan padu kepada Calon GPS di Selangau Edwin Banta.”
Untuk makluman, Seksyen Selangau sepanjang 27 kilometer adalah sebahagian projek LPB. Ia juga menandakan seksyen itu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.
Kos keseluruhan bagi pembinaan seksyen Selangau ini adalah RM588 juta melibatkan pembinaan jalan sepanjang 27 km dan satu persimpangan bertingkat.
Seksyen Selangau ini mula dibina pada 1 November 2016 dan akan dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya pada hari ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Oleh AZREEN KERIA