Kesukaran bukan halangan murid pedalaman kejar cita-cita – Roy Gingkoi

Facebook
WhatsApp
RAKAMAN kenangan Roy Angau Gingkoi semasa Program Jangkauan PIBG SMK Lubok Antu ke SK Nanga Delok, Batang Ai, semalam. Foto Roy Angau Gingkoi

LUBOK ANTU: Kesukaran dari segi lokasi dan perjalanan bukanlah alasan untuk murid di kawasan pedalaman berhenti menuntut ilmu, sebaliknya cabaran itu perlu menjadi pembakar semangat untuk terus mengejar kejayaan.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, setiap murid tanpa mengira lokasi dan keadaan berhak mendapat peluang pendidikan yang baik serta sokongan sewajarnya bagi membantu mereka mencapai cita-cita.

Menurutnya, perjalanan yang jauh serta kemudahan yang serba terhad tidak seharusnya mematahkan semangat murid untuk mendapatkan pendidikan kerana ilmu merupakan asas penting dalam membina masa depan yang lebih baik.

“Kesukaran yang dihadapi bukanlah rintangan untuk terus menuntut ilmu dan mengejar kejayaan. Setiap murid berhak mendapat peluang pendidikan yang baik, tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jangkauan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Mengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Delok, Batang Ai, di sini semalam.

Program berkenaan turut memperlihatkan realiti cabaran pendidikan di kawasan pedalaman apabila perjalanan dari jeti Empangan Batang Ai menuju ke SK Nanga Delok mengambil masa lebih sejam dengan menaiki sampan berenjin.

Namun, jarak dan tempoh perjalanan tersebut tidak menghalang usaha warga pendidik, ibu bapa serta masyarakat untuk memastikan murid di kawasan berkenaan terus mendapat sokongan dalam pendidikan.

ROY Angau Gingkoi ketika Program Jangkauan PIBG SMK Lubok Antu ke SK Nanga Delok, Batang Ai, semalam. Foto Roy Angau Gingkoi

Roy berkata, komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan murid di pedalaman tidak berasa terpinggir, malah diberikan ruang dan peluang yang sama untuk berkembang serta mencapai potensi masing-masing.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kemudahan pendidikan, beliau mengumumkan peruntukan RM100,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bagi kerja-kerja menaik taraf SK Nanga Delok.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada PIBG SK Nanga Delok bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan keperluan berkaitan pendidikan murid di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, peruntukan khas turut disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita di beberapa rumah panjang, iaitu Rumah Nanga Delok menerima RM8,000 untuk JKKK dan RM3,000 bagi Biro Wanita, manakala Rumah Tapang Pungga menerima RM8,000 dan RM2,000 masing-masing.

Rumah Pala Taong menerima RM3,000 untuk JKKK dan RM2,000 Biro Wanita, Rumah Sumpa RM8,000 dan RM3,000, Rumah Nanga Jambi RM3,000 dan RM2,000, Rumah Tapang Jarau RM3,000 dan RM2,000, manakala Rumah Menyang turut menerima RM3,000 untuk JKKK dan RM2,000 bagi Biro Wanita.

Peruntukan berkenaan diharap dapat menyokong aktiviti serta pembangunan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk anak-anak terus belajar serta mengejar impian mereka.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG SK Nanga Delok, Hillary Kamih Umba; Guru Besar SK Nanga Delok, Raymond Tawie Phang; barisan pentadbir dan guru, wakil agensi kerajaan dan swasta, tuai-tuai rumah, ibu bapa serta murid-murid SK Nanga Delok.

Oleh Adi Safarman