MPP ambil tindakan terhadap pembuangan sisa haiwan

Facebook
WhatsApp
PASUKAN Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan DVSS menjalankan kerja pembersihan sisa yang dibuang secara haram di bawah Jambatan Batu Kawah, Kuching, hari ini. Foto MPP

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengambil tindakan segera membersihkan sisa yang dipercayai dibuang secara haram di kawasan bawah Jambatan Batu Kawah selepas menerima aduan daripada orang awam, hari ini.

Aduan berhubung kejadian itu disampaikan oleh Ketua Kaum Kampung Sinar Budi Lama, Maimunah Nahar, yang memaklumkan mengenai pembuangan sisa di kawasan pusingan U di bawah jambatan berkenaan.

Susulan aduan itu, MPP menghantar pasukan ke lokasi untuk menjalankan kerja pembersihan, manakala pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) turut hadir bagi mengambil sampel untuk pemeriksaan lanjut.

MPP dalam kenyataannya menegaskan bahawa pembuangan sampah di kawasan awam adalah dilarang dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.

Pembuangan sisa secara tidak bertanggungjawab bukan sahaja menjejaskan kebersihan kawasan, malah berpotensi mencemarkan alam sekitar serta menimbulkan gangguan kepada penduduk dan pengguna kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, orang awam diminta membantu pihak berkuasa dengan segera menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti pembuangan sampah secara haram.

Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membolehkan tindakan susulan diambil serta membantu memastikan kawasan pentadbiran Padawan kekal bersih dan selamat.

Oleh Adele Rissa