

KUCHING: Individu bujang berpendapatan rendah dan sederhana antara golongan yang tidak pernah dilupakan kerajaan dalam penyaluran pelbagai bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Ini termasuk bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua yang disalurkan mulai 24 Mac lalu.
Beberapa individu bujang yang ditemui di sini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan menyifatkan bantuan yang disalurkan secara empat fasa dalam setahun tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka.
Seorang penjawat awam, Abdul Hakim Well, 23, berkata bantuan STR yang diterimanya digunakan untuk membayar bil utiliti dan membeli barangan keperluan harian.
“Malah, bantuan ini turut dapat digunakan sebagai simpanan untuk kegunaan pada kemudian hari,” katanya.
Pembayaran STR Fasa Dua melibatkan peruntukan RM1.7 bilion, meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu.
Sebanyak 8.5 juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia menerima manfaat itu hingga RM650 menerusi STR Fasa Dua.
Sementara itu kakitangan sebuah syarikat swasta, Roystein Emmor, 43, berkata STR memberi ruang kepadanya untuk mengatur kewangan dengan lebih baik, termasuk mengurangkan hutang dan merancang perbelanjaan bulanan.
“Bantuan ini bukan sahaja membantu untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan dan bil elektrik, tetapi juga memberi peluang untuk saya menyusun kewangan.
“Walaupun RM10, ia tetap boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan,” ujarnya.
Turut senada, Desiree David, 28, juga pekerja syarikat swasta, menggunakan bantuan itu bagi meringankan beban kewangan bulanannya termasuk bagi menyara bapanya yang sudah tidak bekerja.
“Duit tambahan itu juga saya boleh gunakan untuk menampung perbelanjaan bagi membeli barangan keperluan harian dan mengisi minyak kereta bagi ulang-alik ke tempat kerja,” katanya. – Bernama