
KANSAS CITY: Saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 yang pertama kali membabitkan 48 pasukan berakhir dengan pesta gol apabila kejohanan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat itu mencatat rekod baharu dengan 215 jaringan.
Purata 2.99 gol setiap perlawanan menjadikan kejohanan kali ini sebagai Piala Dunia paling produktif sejak era 1950-an.
AFP Sport meneliti beberapa faktor yang menyumbang kepada ledakan jaringan itu.
Persaingan Kasut Emas
Persaingan merebut Kasut Emas kali ini menjadi tumpuan utama apabila penyerang terbaik dunia saling mencabar untuk muncul penjaring terbanyak.
Lionel Messi mendahului carta dengan enam gol, diikuti Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Vinicius Junior dan Erling Haaland yang masing-masing mengumpul empat jaringan.
Rekod 13 gol dalam satu edisi yang dilakukan Just Fontaine kini dilihat berpotensi dipecahkan.
Messi pula sudah menjaringkan 19 gol dalam enam penampilan Piala Dunia selepas menambah koleksi itu ketika Argentina menewaskan Jordan 3-1.

Bola sukar dikawal?
Bekas penjaga gol England, Joe Hart berpendapat bola rasmi Adidas Trionda memberi cabaran besar kepada penjaga gol.
Menurutnya, ramai penjaga gol berdepan kesukaran mengawal rembatan mendatar yang kurang putaran.
“Pengiraan pergerakan bola tidak begitu tepat. Bola kelihatan bergerak lebih laju daripada jangkaan,” katanya kepada BBC.
Bagaimanapun, Hart mengakui bola Jabulani yang digunakan pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan jauh lebih sukar dikawal.
Format baharu beri kesan
Piala Dunia 2026 menyaksikan penyertaan ditingkatkan kepada 48 pasukan berbanding 32 pasukan pada edisi 2022 di Qatar.

Perluasan itu menyaksikan beberapa pasukan gergasi mudah membolosi benteng lawan yang lebih lemah.
Jerman misalnya membelasah Curacao 7-1 pada aksi pembukaan mereka, namun pendatang baharu Cape Verde pula mencipta kejutan apabila mengikat juara Eropah Sepanyol sebelum mara dari peringkat kumpulan.
Namun keputusan besar bukan sesuatu yang asing dalam Piala Dunia. Sepanyol pernah membelasah Costa Rica 7-0 pada 2022 manakala England menewaskan Iran 6-2.
Selain itu, tekanan yang lebih rendah pada peringkat awal kerana 32 pasukan layak ke pusingan kalah mati mungkin mendorong pasukan bermain lebih terbuka dan berisiko.
Pemain gantian jadi senjata
Pemain gantian turut memberi impak besar dengan menyumbang puluhan gol sepanjang kejohanan.
Sejak Piala Dunia 2022, pasukan dibenarkan membuat lima pertukaran pemain selain satu tambahan dalam masa tambahan.
Peraturan itu, bersama skuad 26 pemain, memberi ruang kepada jurulatih menyuntik tenaga baharu.
Penyerang Jerman, Deniz Undav misalnya masuk sebagai pemain gantian ketika pasukannya ketinggalan 0-1 kepada Ivory Coast sebelum meledak dua gol lewat permainan untuk memastikan kemenangan.

Kesilapan benteng pertahanan
Gol sendiri yang dilakukan pemain Tunisia, Ellyes Skhiri ketika menentang Belanda menjadi gol sendiri ke-12 kejohanan, menyamai rekod yang dicatatkan pada edisi 2018.
Selain itu, banyak kesilapan pertahanan dan penjaga gol turut menyumbang kepada peningkatan jaringan.
Pada perlawanan pembukaan, pemain Afrika Selatan, Sphephelo Sithole kehilangan bola berhampiran kawasan penalti sendiri sebelum dihukum oleh penyerang Mexico, Julian Quinones.
Dua daripada tiga penjaga gol Iraq turut melakukan kesilapan yang membawa kepada gol lawan, manakala penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera meminta digantikan pada waktu rehat ketika menentang Sepanyol selepas melakukan kesilapan besar. – AFP