Glasgow 2026: Abdul Halim wakil tunggal Malaysia mara ke final

Facebook
WhatsApp
ABDUL Halim mara ke final acara 100m kuak dada lelaki SB9 Sukan Komanwel Glasgow 2026. Foto Majlis Sukan Negara

GLASGOW: Perenang para negara Abdul Halim Mohammad menjadi wakil tunggal Malaysia berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pada sesi pagi Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross di sini hari ini.

Abdul Halim menamatkan saingan di tempat ketiga pada saringan pertama acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB9 dengan catatan masa 1 minit 16.82 saat (s), di belakang Joshua Willmer dari New Zealand (1:11.99s) dan Timothy Hodge dari Australia (1:13.60s).

Atlet kelahiran Sabah itu, yang memenangi lima pingat emas pada Sukan Para ASEAN 2025 dijadualkan beraksi pada peringkat akhir malam ini (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Dalam acara renang kategori bukan para, Tan Khai Xin gagal mara ke final acara 200m kuak kupu-kupu lelaki selepas menamatkan saingan di tempat keenam pada saringan kedua dengan catatan masa 2:07.37s.

Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal turut gagal melayakkan diri ke separuh akhir acara 100m gaya bebas lelaki. 

Yin Chuen menduduki tempat ketujuh pada saringan keenam dengan catatan 51.19s manakala Arvin menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam saringan ketujuh dengan catatan 51.08s.

Sementara itu, Khiew Hoe Yean memenangi saringan yang lebih perlahan bagi final acara 800m gaya bebas lelaki selepas mencatat masa 8:04.47s.

Bagaimanapun, peluangnya untuk memenangi pingat dilihat tipis kerana setiap perenang dalam saringan lebih pantas yang akan berlangsung lewat hari ini mempunyai catatan masa lebih baik.

Kedudukan akhir acara itu hanya akan disahkan selepas tamat saringan lebih pantas itu. – Bernama