ROCKLAND: Ketika Virginia Oliver mula memasang jerat udang karang atau lobster di perairan berbatu Maine, Amerika Syarikat, Perang Dunia Kedua masih lagi sedekad di hadapannya.
Ketika itu juga isyarat trafik elektronik baru saja hendak dicipta dan hanya sebilangan kecil wanita menceburi aktiviti menangkap udang karang sepertinya.
Hampir sekurun kemudian, pada usia 101 tahun, wanita ini masih melakukan kerja yang sama.
Sebagai penangkap udang karang tertua di Maine dan mungkin yang tertua di dunia, Oliver masih setia dengan rutinnya yang kini dilakukan bersama anak lelaki yang berusia 78 tahun, Max.
Oliver mula melakukan kerja itu pada usia 8 tahun, dan pada hari ini dia menangkap udang karang menggunakan bot yang sebelumnya milik mendiang suaminya. Bot itu bernama ‘Virginia’ sempena namanya.
Menurut laporan AFP, belum ada hasrat untuk berhenti melakukan kerja itu, namun mengakui amat bimbang dengan populasi udang karang di Maine. Menurutnya, aktiviti tangkapan komersial yang melampau menjadi puncanya.
“Saya sudah melakukan semua ini sepanjang hayat, maka biarlah saja saya meneruskannya,” ujar Oliver.
Industri udang karang menyaksikan banyak perubahan tahun demi tahun, dan menu itu berkembang daripada menjadi hidangan kelas pekerja hingga diangkat menjadi menu mewah.
Ketika dia memulakan kerja itu, harga udang karang adalah AS$0.28 bagi setiap paun (0.45kg), namun kini harga itu sudah meningkat 15 kali ganda. Kaedah penangkapan juga telah berubah dengan pengenalan pelbagai jenis perkakasan.
Oliver seperti memang ditakdirkan untuk kehidupan itu. Mendiang bapanya dahulu seorang penjual udang karang, sebelum kemudian berkongsi minat tersebut bersama Oliver dengan membawanya ke laut.
Seorang rakan keluarga yang tinggal berdekatan, Wayne Gray memberitahu, Oliver pernah berdepan situasi yang ‘mengerikan’ beberapa tahun lalu, apabila seekor ketam telah mengacip jarinya hingga cedera dan memaksanya menerima tujuh jahitan. Bagaimanapun, insiden itu langsung tidak melunturkan semangatnya.
“Doktor juga sudahpun mengingatkannya, ‘Kenapa masih keluar ke laut?’ Tapi dia tetap mahu melakukannya,” kata Gray tentang rakannya itu.
Setelah bertahun-tahun, Oliver masih teruja tentang memasak makan malam menu udang karang dan biasanya menyediakan satu hidangan untuk dirinya sendiri setiap minggu. Dia tidak ada perancangan untuk berhenti.
“Saya suka melakukan ini… Saya suka berada di tengah laut. Saya akan terus melakukannya selagi mampu,” kata Oliver.-AFP