Gereja St Leonard Kampung Atas kini berwajah baharu

Facebook
WhatsApp
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep dan Uskup Agung Katolik Kuching Dato Dr Simon Poh pada upacara pembukaan rasmi bangunan baharu Gereja St Leonard Kampung Atas, Bau, hari ini. Foto UKAS

BAU: Bangunan baharu Gereja St Leonard Kampung Atas di sini akhirnya dibuka secara rasmi selepas hampir sedekad melalui proses perancangan, pembinaan dan pengumpulan dana sebelum siap sepenuhnya pada September 2025.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Uskup Agung Katolik Kuching, Dato Dr Simon Poh hari ini, sebelum diteruskan dengan upacara pemberkatan dan misa yang diketuai beliau bersama Rektor Paroki St Stephen Bau, Peter Liston.

Projek pembinaan gereja baharu itu mula dirancang pada 2016 bagi menggantikan bangunan sedia ada, sebelum kertas kerja pertama disediakan pada 2019.

Bagaimanapun, pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran, termasuk pandemik COVID-19 pada 2020, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kekangan kewangan yang menyebabkan kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan.

USKUP Agung Katolik Kuching Dato Dr Simon Poh menyempurnakan upacara pembukaan rasmi bangunan baharu Gereja St Leonard Kampung Atas, Bau, hari ini. Foto UKAS

Bagi memastikan projek dapat diteruskan, jawatankuasa gereja menyediakan pelan seni bina sebelum dikemukakan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), sebelum menerima kelulusan peruntukan awal berjumlah RM100,000 pada Ogos 2020.

Permohonan bantuan tambahan daripada UNIFOR kemudiannya dibuat secara berperingkat sepanjang tempoh pembinaan dari 2021 hingga 2025.

Projek itu turut menerima sokongan kerajaan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melalui Majlis Daerah Bau dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pada masa sama, Jawatankuasa Kutipan Dana ditubuhkan bagi menggerakkan sumbangan daripada keluarga Kristian berdaftar, komuniti setempat, pihak perniagaan, syarikat korporat serta tokoh dan pengusaha tempatan.

PENAMPILAN baharu Gereja St Leonard Kampung Atas, Bau, yang dibuka secara rasmi hari ini. Foto UKAS

Hasil kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, bangunan utama gereja berjaya disiapkan sepenuhnya pada September 2025, sekali gus membuka lembaran baharu kepada warga Gereja St Leonard Kampung Atas dan komuniti Kristian setempat.

Pembukaan rasmi itu bukan sahaja menandakan selesainya projek pembinaan yang tertangguh, malah mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dalam merealisasikan sebuah tempat ibadat yang lebih selesa dan sesuai.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Presiden Persatuan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) Datuk Peter Nansian Ngusie serta Pengerusi Jawatankuasa Gereja Katolik (KGK) Gereja St Leonard Atas Bau Fidelis Colgeon Albert Ahin.