LAWAS: Gerakan belia Daerah Lawas dan Sarawak amnya perlu berlandaskan acuan tempatan di Sarawak tanpa perlu terpengaruh dengan suasana di luar wilayah Sarawak.
Exco Pergerakan Pemuda PBB Sarawak merangkap Exco Saberkas Sarawak Steve Lius melihat gerakan belia di Sarawak perlu berlandaskan identiti sendiri sesuai dengan keperluan tempatan di Sarawak.
“Kita perlu perkukuh jati diri dengan mengutamakan agenda lokal tanpa perlu terikut dengan pemikiran luar wilayah kita yang agak agresif.
“Tidak salah untuk kita mendengar perkembangan diluar sekadar untuk menambah pengetahuan, tetapi kita perlu menyesuaikan segala idea luar dengan budaya tempatan kita di Sarawak,” katanya.
Steve berkata demikian ketika dihubungi selepas menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia kali ke- 73 di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) Kuala Lumpur, semalam.
Steve juga mahu rakan belia di Sarawak untuk terus bersama kepimpinan khususnya Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kabinet beliau.
“Abaikan isu remeh dan sensitif kerana perjuangan belia kita di Sarawak ini perlu fokus kepada agenda pembangunan berteraskan teknologi moden yang diterajui Datuk Patinggi Abang Johari.
“Kita harus bangga dan mempunyai satu wawasan untuk memajukan Sarawak sesuai dengan pelan pembangunan yang telah dirangka oleh pemimpin kita di Sarawak ini, ” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus