ADUM LIU
BEKENU : Tiga sekawan ‘Geng Curi Sawit’ tumpas di tangan pemilik kebun sawit ketika mereka asyik mencangkuk tandan sawit di kebun Sungai Uban di Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu semalam.
Ketua Polis Balai Bekenu Mohammad Yusri Abdullah ketika ditemui semalam berkata kejayaan menangkap Geng Curi Sawit adalah di atas makluman daripada pemilik kebun.
Katanya, semasa dalam tugas rondaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Simpang Bekenu telah menerima panggilan tentang pencerobohan dan mencuri sawit di kebun Sungai Uban pada jam 12.45 tengah hari.
“Kami tiga anggota terus bergegas ke lokasi untuk bertindak dan berjaya menangkap pencuri yang mengguna sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Tiba di lokasi, ketiga-tiga pencuri tidak dapat melarikan diri dari kebun akibat pintu pagar besi telah dikunci oleh pemilik kebun sehingga mereka tertangkap oleh kami dan di bawa ke balai untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Antara bahan bukti yang dirampas ialah sebuah kereka mengangkut sawit, motosikal, dua unit sandak sawit, dua unit parang, dua batang bujak (besi tajam), sebilah kapak dan sebuah bakul yang berisi tiga tanda sawit.
Ketiga-tiga Geng Curi Sawit itu adalah dipercayai lelaki tempatan yang berusia di antara 27 hingga 43 tahun, mereka direman untuk siasatan lanjut ekoran salah seorang daripada mereka dipercayai penagih dadah, tambahnya.
Katanya, kejadian seperti ini telah banyak kali berlaku di kebun sawit Sungai Uban ini dan kerugian yang dialami oleh pemilik kebun untuk kes ini belum dapat dipastikan lagi.
Sehubungan itu, kejayaan tangkapan itu merupakan sebahagian daripada geng pencuri sawit di Daerah Subis ini, jelasnya lagi.