ANKARA: Kementerian Luar Qatar mengumumkan perjanjian gencatan senjata bagi Semenanjung Gaza akan berkuat kuasa pada 8.30 pagi esok waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia).
Agensi Anadolu melaporkan jurucakap kementerian Majed Al-Ansari mengesahkan perkembangan di X: “Seperti yang diselaraskan oleh pihak dalam perjanjian dan pengantara, gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan bermula pada 8.30 pagi pada Ahad, 19 Januari, waktu tempatan di Gaza.”
“Kami menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga, berhati-hati sepenuhnya, dan menunggu arahan daripada sumber rasmi,” katanya.
Qatar mengumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa pada Rabu untuk menamatkan lebih 15 bulan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza dengan gencatan senjata dijangka berkuat kuasa esok.
Hampir 46,900 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lebih 110,600 cedera dalam perang genosid Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya terhadap wilayah terkepung itu kawasan itu. – BERNAMA-AA