KUMAMOTO, Jepun: Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang mungkin terperangkap dalam runtuhan sebuah pusat beli-belah di Jepun selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.
Satu letupan besar berlaku di pusat beli-belah itu kira-kira 50 minit selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda wilayah Kumamoto di barat daya Jepun.
Kawasan berkenaan pernah dilanda dua gempa bumi besar pada 2016 yang mengorbankan hampir 300 orang.
Gempa bumi tersebut menyebabkan kerosakan meluas di pulau Kyushu, termasuk meranapkan rumah, mencetuskan kebakaran serta menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik dan air.
Beberapa gegaran susulan turut melanda kawasan berkenaan selepas gempa utama berlaku.
Presiden syarikat pengendali pusat beli-belah Aeon, Akio Yoshida, berkata tiga maut di premis berkenaan di bandar Kashima, manakala seorang lagi dikhuatiri turut terkorban dan tiga individu masih belum ditemui.

“Punca kejadian masih disiasat, tetapi berkemungkinan berpunca daripada gas,” kata eksekutif Aeon, Keiji Ohno, dalam sidang media yang menyaksikan beliau dan beberapa individu lain menundukkan badan sebagai tanda permohonan maaf.
Lima lagi mangsa disahkan maut dan empat masih belum ditemui di kilang Nippon Paper Industries di bandar Yatsushiro selepas sebahagian cerobong asap berwarna merah dan putih runtuh, menurut seorang pegawai kerajaan kepada AFP.
“Kerosakan besar telah disahkan, termasuk kematian, bangunan runtuh, kebakaran dan kerosakan jalan raya,” kata Perdana Menteri Sanae Takaichi di Tokyo ketika mengumumkan angka korban seramai 13 orang, sambil menyifatkan usaha membantu mangsa sebagai “perlumbaan dengan masa”.
Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara, berkata sehingga awal Rabu, lebih 9,000 orang mendapatkan perlindungan di 506 pusat pemindahan di tiga wilayah di pulau Kyushu.
Beliau berkata kira-kira 130 anggota polis, 450 anggota bomba dan 170 anggota tentera terbabit dalam operasi menyelamat di Aeon Mall Kumamoto.

Beberapa penduduk yang masih terkejut berkata gempa berkenaan merupakan gegaran paling kuat yang pernah mereka rasai sepanjang hayat, dengan catatan tertinggi pada skala tujuh tahap shindo Jepun yang mengukur intensiti gegaran.
“Ia adalah gempa bumi paling kuat yang pernah saya alami,” kata Kanzo Matsumoto, 73, pengusaha rumah penginapan mata air panas onsen mewah di Yatsushiro, kepada AFP.
Agensi Maklumat Geospatial Jepun memaklumkan beberapa permukaan tanah beralih sehingga 87 sentimeter akibat gempa berkenaan, lapor Jiji Press.
Kemudian Berlaku Letupan
Tokito Kitagawa, 21, memberhentikan motosikalnya di sebuah kedai serbaneka ketika gempa berlaku semasa beliau dalam perjalanan di Kumamoto.
“Tiba-tiba terdengar bunyi kuat,” kata Kitagawa kepada AFP. “Saya tidak mampu berdiri. Saya terpaksa mencangkung. Kemudian semua mi cawan jatuh ke atas saya di lantai.”

Seorang pengguna platform X yang mendakwa bekerja di dalam pusat beli-belah itu menceritakan detik selepas gempa berlaku.
Pengguna dengan nama akaun Palan berkata kakitangan telah membawa pelanggan keluar sebelum beberapa pekerja kembali ke dalam bangunan untuk mengambil barangan mereka.
“Memandangkan tiada asap kelihatan di dalam premis berdasarkan apa yang kami lihat, kami berasa lega. Kemudian berlaku satu letupan,” katanya.
Rakaman dari dalam pusat beli-belah itu menunjukkan anggota penyelamat yang memakai pakaian keselamatan berwarna jingga dan topi keledar putih bergerak di celah timbunan besi berpintal, kabel tergantung serta serpihan siling.
Laporan awal menyatakan antara 20 hingga 30 orang mungkin terperangkap di dalam bangunan berkenaan.
Pegawai berkata kira-kira 31,200 isi rumah dan premis masih terputus bekalan elektrik pada pagi Rabu, manakala 84,000 rumah mengalami gangguan bekalan air.

Rakaman televisyen menunjukkan orang ramai beratur untuk mendapatkan petrol dan air minuman.
Perkhidmatan Kereta Api Dihentikan
Gempa kuat yang berlaku pada 4.27 petang (0727 GMT) Selasa itu menyebabkan sebuah kereta api kargo tergelincir, meruntuhkan pintu gerbang tradisional torii serta merekah jalan raya sehingga menyebabkan banyak laluan tidak dapat digunakan.
Perkhidmatan kereta api laju shinkansen sebahagian besarnya masih dihentikan pada Rabu.
Rakaman turut menunjukkan sebahagian dinding Istana Kumamoto yang berusia ratusan tahun runtuh.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa berkenaan pada magnitud 6.8, lebih rendah berbanding bacaan pihak berkuasa Jepun iaitu 7.1 magnitud.
Jepun merupakan antara negara paling aktif dari segi seismik di dunia, terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat Lingkaran Api Pasifik.
Kumamoto pernah dilanda dua gempa bumi dahsyat pada 2016 yang mengorbankan 273 orang dan mencederakan lebih 2,800 mangsa.
Kepulauan Jepun yang dihuni kira-kira 125 juta penduduk itu lazimnya mengalami ratusan gegaran setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada kejadian gempa bumi dunia.
Sebahagian besar gempa berkenaan berintensiti rendah, walaupun tahap kerosakan bergantung pada lokasi serta kedalaman pusat gempa di bawah permukaan bumi.
Jepun masih dihantui tragedi gempa bumi dasar laut berukuran 9.0 magnitud pada 2011 yang mencetuskan tsunami sehingga menyebabkan kira-kira 18,500 orang maut atau hilang serta memusnahkan loji nuklear Fukushima. – AFP





