
ROBAN: Sebuah gelanggang futsal baharu yang akan dibina sekali gus memberi manfaat kepada penduduk serta belia di kawasan Rumah Luna Patan dekat Nyiar Roban.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan bagi membina baharu sebuah gelanggang futsal di kawasan Rumah Luna Patan melalui peruntukan di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau berharap kemudahan yang bakal dibina itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat di kawasan itu apabila siap nanti.
“Kemudahan seperti gelanggang futsal yang akan dibina di kawasan Rumah Luna Patan dekat Nyiar Roban ini akan dapat memberi peluang kepada golongan belia untuk bergiat lebih aktif dalam pelbagai program kesukanan selain mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah.
“Kerajaan Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa memandang berat keperluan rakyat setempat di kawasan luar bandar negeri ini.
“Sebagai contoh, pembinaan gelanggang futsal di Rumah Luna Patan ini bukan sahaja dapat dijadikan tempat untuk bermain futsal malah boleh dimanfaatkan untuk program kemasyarakatan tetapi juga pelbagai kegiatan lain termasuk sukan dan kebudayaan sekali gus merancakkan aktiviti penduduk setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka bersama agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan JKR Saratok telah mengadakan lawatan tapak projek yang diluluskan di bawah projek RTP bagi tahun 2025, semalam.
Mohamad Duri berkata bukan itu sahaja, gelanggang terbabit yang dimohon dan diluluskan itu hasil daripada permintaan dan permohonan belia di kampung supaya mewujudkan kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti sukan.
Beliau turut melahirkan harapan agar pemimpin, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ranting PBB serta semua penduduk bersama-sama menjaga kemudahan tersebut dengan sebaiknya apabila siap nanti.
“Saya berharap kemudahan ini apabila siap nanti, diurus serta dijaga dengan baik agar dapat digunakan oleh semua pihak termasuk kampung-kampung yang berhampiran di kawasan Nyiar Roban,” ujarnya sambil menambah proses tender dan cabutan undi pembinaan gelanggang futsal berkenaan dijangka dilakukan tidak lama lagi.
Oleh Adi Safarman