MIRI : Galong Luang telah dilantik sebagai Residen Bahagian Miri yang baharu berkuatkuasa hari ini, 2 Januari 2025 menggantikan Jamalie Busri.
Galong, 54, lulusan ijazah sains matematik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah berkhidmat di Miri pada 2004 hingga 2008.
Sebelum ini, beliau adalah Residen Bahagian Kapit.
Semasa sesi perjumpaan bersama pegawai kanan Pentadbiran Bahagian Miri pada hari ini, Galong optimis dalam usaha memastikan agenda pembangunan di Bahagian Miri diteruskan.
Beliau menitikberatkan aspek integriti dan profesionalisma seperti yang digariskan dalam Enam Nilai Bersama Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Di samping itu, beliau turut menekankan semangat kerja dalam satu pasukan bagi memastikan rakyat dapat menikmati pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang dirangka kerajaan Sarawak untuk mencapai wilayah maju menjelang 2030.
Terdahulu, Galong meluangkan masa melawat serta berkenalan dengan semua kakitangan Pejabat Residen Bahagian Miri serta beramah mesra dengan ketua-ketua masyarakat Bahagian Miri .
Sesi perjumpaan yang telah diadakan di Pejabat Residen Bahagian Miri turut dihadiri oleh Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit; Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof; Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis; Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda; wakil dari Pejabat Daerah Marudi dan Pejabat Daerah Subis serta pegawai-pegawai kanan di Pejabat Residen Bahagian Miri.
Oleh Adum Liu