SEORANG peniaga pasar malam tidak kisah menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk membiayai hobinya mengumpul artifak bersejarah termasuk sebilah pedang dianggar berusia 300 tahun yang dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman itu.
Mohamad Fauzi Kamaruddin, 38 berkata beliau mula mengumpul barang bersejarah sejak usia belasan tahun dan menjadikan kediamannya di Jalan Kuala Krai di sini sebagai galeri yang dinamakan Galeri Kraf Warisan Purba untuk menempatkan lebih 10,000 artifak miliknya.
Ketika penulis menjejakkan kaki di kediaman lelaki itu, mata terpukau melihat pelbagai artifak seperti pedang, keris, lembing, ukiran pintu dan tingkap, cincin, pinggan mangkuk termasuk basikal lama yang dipamerkan.
“Artifak ini yang sebahagian besar merupakan tinggalan zaman Kesultanan Melayu Kelantan dan Patani, kini tidak ternilai harganya dan saya kumpul untuk ditatap generasi muda.
“Lihat pedang yang dipanggil `Pedang Hukuman’ ini yang dianggar berusia 300 tahun, masih ada kesan darah dan dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman tersebut,” katanya sambil menunjukkan pedang yang panjangnya lebih satu meter tersebut kepada penulis.
Turut hadir pada pertemuan itu Pengerusi Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan Alwi Yusof.
Mohamad Fauzi berkata antara koleksi beliau yang disifatkan unik ialah sembilan bilah keris lama yang dibuat oleh penempa terkenal dari tanah Jawa digelar ‘Pandai Saras’, lebih 100 tahun lalu.
“Dikatakan penempa ini pernah menetap di Kelantan bagi membuat senjata untuk panglima Istana Kelantan ketika itu,” katanya.
Koleksi lain ialah beberapa bilah kapak kecil yang dipercayai pernah digunakan oleh pengikut Tok Janggut ketika menentang British di Pasir Puteh.
Mohamad Fauzi juga tidak keberatan sekiranya ada mana-mana pihak berhasrat membuat kajian terhadap artifak yang dimilikinya itu demi manfaat bersama.
Sementara itu, Alwi berkata koleksi Mohamad Fauzi, terutamanya pedang dan keris terbabit, adalah barang bersejarah yang tidak ternilai dan pihaknya bercadang mempamerkan artifak tersebut di venue yang sesuai termasuk muzium.
Alwi yang juga Ahli Lembaga Muzium Negeri Kelantan turut berpandangan kajian perlu dilakukan ke atas artifak terbabit bagi memastikan warisan sejarah negeri itu tidak lenyap begitu sahaja.
Seorang peminat artifak, Anuar Mohd Zin, 35, meluahkan rasa kagum terhadap koleksi milik Mohamad Fauzi.
Ada antara artifak itu yang tidak pernah dilihat oleh generasi sekarang seperti kukur kelapa, topi askar British ketika zaman Jepun dan senjata lama seperti lawi ayam dan buku lima, katanya.
- Bernama