Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Gabenor South Caroline isytihar darurat susulan kebakaran hutan
  • GLOBAL

Gabenor South Caroline isytihar darurat susulan kebakaran hutan

Utusan Sarawak 2 months ago
HENRY McMaster mengisytiharkan darurat di negeri South Carolina, Amerika Syarikat. Foto AFP

ISTANBUL: Gabenor Henry McMaster mengisytiharkan darurat semalam susulan kebakaran hutan di negeri South Carolina, Amerika Syarikat. 

Pasukan bomba sedang giat berusaha mengawal kebakaran, lapor Anadolu Ajansi memetik NBC News. 

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan langit bertukar jingga apabila kebakaran melanda hutan Carolina di kawasan Myrtle Beach.

McMaster berkata lebih 175 kebakaran sedang berlaku di beberapa daerah termasuk Horry, Spartanburg, Union, Oconee dan Pickens, melibatkan kawasan seluas 4,200 ekar. 

“Perisytiharan darurat memastikan pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi masyarakat daripada kebakaran ini mendapat sumber yang diperlukan.

“Situasi kebakaran memerlukan larangan pembakaran di seluruh negeri terus dikuat kuasa sehingga diberitahu kelak. Mereka yang melanggar larangan ini akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan. 

Suruhanjaya Perhutanan South Carolina memaklumkan bahawa daerah Horry menerima bantuan daripada rakan kerjasama negeri, termasuk pesawat yang digunakan untuk memadamkan kebakaran.

Seramai 410 anggota penyelamat serta sekurang-kurangnya 128 aset dikerahkan dalam operasi ini. 

Pemindahan turut dilaksanakan dengan kira-kira 135 penduduk berlindung di Pusat Rekreasi Carolina Forest di Horry County, menurut Palang Merah South Carolina. 

“Kakitangan akan terus bersiap siaga sehingga kebakaran dapat dikawal sepenuhnya,” menurut Suruhanjaya Perhutanan South Carolina di platform X. 

Setakat ini, tiada kecederaan atau kerosakan struktur dilaporkan. Rakaman video dari udara menunjukkan situasi kebakaran dari perspektif pesawat. 

Perintah pemindahan turut dikeluarkan untuk beberapa kejiranan di kawasan Myrtle Beach, termasuk Spring Lake, Waterford serta Avalon.

Suruhanjaya itu menggesa penduduk supaya segera berpindah sekiranya diarahkan. 

“Orang ramai yang melalui kawasan Carolina Forest diminta berhati-hati kerana asap mungkin menjejaskan jarak penglihatan, terutama pada waktu malam,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.  – Bernama – Anadolu

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Blue Ghost, binaan angkasa lepas AS mendarat di Bulan
Next: Gaza berdepan keruntuhan kemanusiaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.