JAKARTA, 30 Oktober: Pencemaran udara akibat kebakaran hutan yang berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia dianggarkan meragut 3,560 nyawa sepanjang September lalu, menurut kajian terbaharu Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA).
Badan pemikir berpangkalan di Helsinki itu turut mendedahkan kira-kira 57.8 juta penduduk Indonesia terdedah kepada tahap kualiti udara tidak sihat hingga berbahaya dalam tempoh sama.
“Kemerosotan kualiti udara akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia menyebabkan anggaran kematian meningkat kepada 3,560 kes pada September 2026, iaitu dua kali ganda berbanding Ogos,” menurut kenyataan CREA.
Kajian itu menganggarkan kematian akibat pendedahan jangka pendek kepada zarah halus PM2.5 yang boleh memasuki paru-paru dan aliran darah, sekali gus meningkatkan risiko penyakit serta kematian pramatang.
Kebanyakan kematian dianggarkan berlaku di Kalimantan, Jawa, Sumatera dan kawasan timur Indonesia.

Selain kebakaran hutan, pencemaran daripada sektor perindustrian, penjanaan tenaga elektrik dan pengangkutan dianggarkan menyebabkan tambahan 1,750 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 5,310 kes pada September.
Laporan itu turut mendapati tahap pendedahan kepada PM2.5 melebihi garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih tujuh kali ganda di seluruh Indonesia, 10 kali ganda di Sumatera dan 24 kali ganda di Kalimantan.
Lebih 330,000 kes jangkitan saluran pernafasan akut turut direkodkan di seluruh negara.
Bencana boleh dielakkan
Indonesia kini berdepan kebakaran hutan berpanjangan akibat kemarau yang diburukkan fenomena El Nino.
Menurut badan pemantau Nusantara Atlas, lebih 1.9 juta hektar kawasan musnah akibat kebakaran dalam tempoh sembilan bulan hingga September, namun angka itu belum disahkan kerajaan.
Asap kebakaran turut menyebabkan pencemaran udara merentasi sempadan sehingga menjejaskan Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.
Pakar mengaitkan kebakaran tersebut dengan amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar, khususnya bagi aktiviti pembalakan, perladangan kelapa sawit serta perlombongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Landscape Indonesia, Agus Sari, menyifatkan bencana itu sebagai sesuatu yang boleh dijangka dan dielakkan, sambil mengkritik kelemahan kesiapsiagaan kerajaan serta pemotongan belanjawan agensi pengurusan bencana.
CREA menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada pemulihan tanah gambut, memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran haram dan mengenakan piawaian pelepasan pencemaran lebih ketat.
Sementara itu, kerajaan Indonesia pada Rabu mempertahankan langkah menangani kebakaran dengan memaklumkan lebih 72,000 anggota dikerahkan untuk operasi pemadaman dan pembenihan awan.
Seramai lebih 2,100 petugas kesihatan turut digerakkan ke kawasan terjejas, manakala 5.3 juta pelitup muka telah diedarkan. – AFP





