MIRI, 7 November: Selepas berjaya merealisasikan pembinaan Pusat Kebudayaan, Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) kini menyasarkan penubuhan sebuah kolej pendidikan di sini sebagai usaha memperluas peluang pendidikan kepada generasi muda masyarakat itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bangunan FORUM, Dato’ Dennis Ngau berkata cadangan berkenaan merupakan antara agenda besar persatuan itu dalam memastikan masyarakat Orang Ulu terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti melalui laluan kemasukan secara langsung untuk meningkatkan kelayakan akademik sebelum menyambung pengajian atau memasuki alam pekerjaan.
Menurutnya, pihak FORUM sudah menjalankan kajian awal dan mengenal pasti sebuah kolej di Miri yang berpotensi dipertimbangkan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Kita mahu anak-anak Orang Ulu menjadi doktor, jurutera, peguam, ahli akademik, usahawan, pegawai kerajaan, pemimpin industri dan pemimpin masa depan Sarawak.
“Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri, sebaliknya menjadi sebahagian daripada tenaga profesional, tenaga mahir dan pemimpin yang menerajui pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kebudayaan FORUM yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini hari ini.
Dennis berkata, pendidikan merupakan antara landasan penting untuk mengubah kehidupan masyarakat, selain membentuk pemikiran, keyakinan diri dan kepimpinan generasi muda.
Menurutnya, pembinaan Pusat Kebudayaan FORUM bertujuan memelihara warisan generasi terdahulu, manakala hasrat penubuhan kolej pendidikan pula memberi tumpuan kepada pembangunan generasi akan datang.
Oleh Liong Chai Ling





